Berita UtamaKata PedangUtama

Mohon Idrus buka semula kes-kes pernah digugurkan Tommy

Harapan rakyat mahu lihat perundangan negara dimartabatkan semula

RAKYAT berterima kasih kerana ‘tempoh malang’ perundangan negara sudah berakhir. Alhamdulillah tokoh yang berwibawa dan berintegriti dipilih sebagai Peguam Negara baharu. Tahniah Tan Sri Idrus Harus. Semoga mampu melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan adil.

Sebelum ini, rakyat amat kecewa dengan sistem perundangan negara. Berat sebelah, paling malang ‘rule of law’ yang dilaung-laungkan hanya omong kosong. Keadilan seperti mereka yang punya. Pilih kasih jangan dikata. Itu yang diamalkan.

Pedang yakin siapa pun takkan lupa sosok tubuh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas. Beliau lah yang berbahasa Inggeris ketika sidang media pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak suatu ketika dahulu, sehingga menimbulkan kekecohan di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Tindakan Tommy itu dikritik hebat, kerana bagaimana seorang peguam negara yang sepatutnya menggunakan bahasa Melayu dalam prosiding perbicaraan kurang fasih bahasa kebangsaan, sehingga memaksa beliau memohon maaf dan berjanji akan memperbetulkan keadaan.

Sejak itu, satu persatu tindakan Tommy dipersoal. Beliau menggugurkan sepenuhnya beberapa kes berprofil tinggi membabitkan hubungan diplomatik negara tanpa alasan munasabah. Antaranya kes penderaan yang menyebabkan kematian pembantu rumah Indonesia, Adelina Jerima Sau dan juga kes dua suspek warga Vietnam dan Indonesia dalam kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam.

Tommy juga membatalkan arahan untuk mendakwa aktivis liberal, Siti Kassim yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang penonton di forum Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Lebih memalukan, apabila tularnya video tarian ‘twist’ Tommy dengan Siti Kassim sebelum kes itu digugurkan – rakyat persoal di mana integriti Tommy sebagai peguam negara? 

Bukan itu sahaja, Tommy juga berani mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk digunakan dalam kelayakan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP).

Beliau juga dikaitkan dengan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kerana didakwa menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues. Tommy secara tidak bertanggungjawab dan subjudis telah membuat satu afidavit dengan menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian Adib.

Paling terkini sebelum beliau meletakkan jawatan, Tommy telah menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 individu termasuk 2 pemimpin parti tamak halona DAP yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Pedang merasakan kegagalan Tommy memelihara kedaulatan dan keluruhan Perlembagaan telah merobek kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.

Beliau sepatutnya menjadikan perkara berkenaan sebagai keutamaan dan bertindak secara adil tanpa mengambil kira fahaman politik kerajaan yang memerintah mahupun pendirian politik peribadi.

Pedang melihat perbuatan Tommy sebelum ini amat berbahaya dan kini perlu ditangani segera oleh Tan Sri Idrus Harun.

Tindak-tanduk Tan Sri Idrus pastinya diperhati dengan penuh minat oleh rakyat, sama seperti perhatian yang mereka berikan kepada kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali, kerajaan baharu bersikap seperti kerajaan PH yang begitu mengecawakan.

Namun Pedang yakin anak kelahiran Sanglang, Kedah yang kini berusia 65 tahun itu seorang yang berwibawa dan mampu menggalas tanggungjawab sebagai peguam negara dengan baik sesuai pengalaman luas beliau dalam bidang perundangan selama 40 tahun.

Kita harapkan Tan Sri Idrus akan meneruskan kes perbicaraan membabitkan pemimpin BN dan janganlah dihentikan secara mengejut seperti yang pernah dilakukan oleh rejim pemerintahan terdahulu.

Pedang juga memohon jasa baik peguam negara untuk membuka semula kertas siasatan berkenaan tahanan LTTE yang dibebaskan, selain cuba memberi keadilan sewajarnya terhadap kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Di bahu Tan Sri Idrus kini terletaknya harapan rakyat Malaysia yang mahu melihat sistem perundangan negara dimartabatkan semula.

Kata Pedang: Apa khabar dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sekarang?

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker