Berita UtamaIstimewaUtama

Jumpa bekas tahanan LTTE? MIC tak sensitif

Harap pimpinan negara menegur parti itu demi keselamatan semua

BANGI, 12 Rejab 1441H, Sabtu – Tindakan pemimpin MIC berjumpa dengan individu yang sebelum ini berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) memberi gambaran sangat salah dan negatif kepada rakyat.

Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, MIC menunjukkan sifat kurang sensitif kepada rakyat apabila bertemu bekas tertuduh LTTE dalam sebuah majlis yang meraikan mereka.

“Adakah ini bermakna MIC menyokong mereka? Saya harap tidak. Tidakkah MIC tahu bahawa penangkapan mereka adalah dengan segala bukti yang cukup bukan hanya berdasarkan sangkaan kosong dari pihak polis? Adakan MIC cuba nak merendahkan kuasa dan usaha pihak polis?

“LTTE bukanlah penjenayah biasa tetapi dikaitkan dengan aktiviti keganasan. Adakah kita mahu negara ini dipenuhi dengan pengganas yang akan menghuru-harakan negara?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, MIC menerusi akaun Twitter memuat naik beberapa keping gambar bersama kapsyen Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran bertemu dengan bekas tahanan yang telah dibebaskan daripada tuduhan SOSMA-LTTE dan ahli keluarga mereka di Ibu Pejabat MIC.

Haji Aminuddin turut mempersoalkan sama ada perjumpaan itu membawa makna segala pengganas seperti LTTE, komunis, ISIS dan lain-lain sudah boleh diraikan.

“Adakah ini mesej yang mahu disampaikan oleh MIC? Kita harap pimpinan negara tegas menegur MIC. Jangan disebabkan kononnya sayangkan undi, keselamatan negara kita letak di hujung tanduk. Hal-hal keselamatan negara tidak boleh dibuat main-main dan dipandang remeh,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close