Berita UtamaGambar PilihanIstimewaUtama

Pengakuan bekas pegawai Maszlee buktikan DAP memang bahaya

Menteri Melayu dalam PH tiada kuasa, senang diperkotak-katik

BANGI, 8 Rejab 1441H, Selasa – Pendedahan bekas pegawai Dr Maszlee Malik, ZF Zamir bahawa Kementerian Kewangan (MOF) mengawal segala keputusan dilakukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah gambaran jelas bahawa parti tamak haloba DAP mendominasi Pakatan Harapan (PH).

Tidak hairan dengan perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya sudah lama memberi amaran mengenai bahaya parti rasis dan cauvinis berkenaan.

“Pendedahan ini membuktikan bahawa DAP sememangnya rasis dan kiasu, yang sememangnya tidak dikawal.

“Berlemah-lembut dan berlemah-longlai dengan mereka ini sememangnya tidak akan berkesan kerana mereka memang sudah ‘keras’ dan ‘tegar’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, penulis ZF Zamir yang juga bekas pegawai Maszlee dalam satu tulisan di portal The Malaysian Insight mendedahkan, satu insiden berlaku dalam sebuah mesyuarat membabitkan Menteri Kewangan yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Maszlee.

Bersama-sama di dalam bilik mesyuarat adalah pegawai tertinggi kedua-dua kementerian termasuk ketua setiausaha KPM dan MOF.

Dalam tulisannya juga, ZF Zamir berkata, mesyuarat itu terpaksa dilakukan setelah pelbagai usaha KPM untuk meneruskan bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Keselamatan (KBK) seperti tahun-tahun sebelumnya menemui jalan buntu.

Katanya, MOF telah menetapkan mahu mengurangkan bajet PKK sebanyak RM50.7 juta dan bajet BKK sebanyak RM427.3 juta untuk 2019 berbanding bajet yang diterima secara normal pada 2018 sebelumnya atau pengurangan RM478 juta keseluruhannya.

“Ini menyebabkan hampir 1,382 syarikat terjejas berbanding jumlah keseluruhan 1,953 kontrak yang dikeluarkan. Lebih menyedihkan, keputusan ini akan menyebabkan seramai 10,406 pekerjaan dikurangkan dalam dua fasa.

“Dalam dua mesyuarat bersama-sama Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) pada 31 Januari 2019 dan 27 Mac 2019 yang dibawa oleh saudara Arul dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Maszlee telah berjanji bahawa apa juga keputusan kerajaan tidak akan memberi kesan kepada pekerja kontrak di sekolah kerana mereka kebanyakannya adalah warga B40 yang bergantung hidup kepada gaji sekecil RM900 sehingga RM1500 sahaja.

“Malangnya di dalam mesyuarat tersebut, permintaan KPM untuk mendapatkan jumlah bajet seperti yang diminta ditolak mentahmentah. Diceritakan komen sinis salah seorang ahli mesyuarat: “Jaga sekolah ni tak perlulah ramai-ramai. Sekolah-sekolah kampung carilah ‘volunteer’ (sukarelawan), mak bapa yang tak ada kerja tu boleh volunteer, “ katanya.

Bukan itu sahaja, ZF Zamir turut mendedahkan bahawa pekerja kontrak keselamatan dan kebersihan yang terlibat dalam program penjimatan mereka terus ditamatkan dalam dua fasa seperti dirancang.

“Kami di KPM setiap hari menerima panggilan, WhatsApp, mesej dan emel tentang perkara ini namun tidak mampu melakukan apa-apa kerana bajet yang diminta tidak diluluskan MOF.

“Malah liputan turut disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Rakyat pada amnya melihat yang jahat adalah Dr Maszlee dan KPM, tanpa mengetahui punca sebenar mengapa sehingga 10,000 pekerja diberhentikan, atau seperti dilaporkan Utusan, 27,000 orang terjejas.

“Beberapa agensi di bawah KPM seperti Institut Terjemahan Buku Negara (ITMB) diarahkan tutup dalam masa yang kadangkala tidak masuk akal, ada di antaranya diarahkan tutup dalam masa 3 bulan,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, pendedahan ZF Zamir itu juga bukti kepada rakyat untuk menilai sama ada Menteri Pendidikan ketika itu, Maszlee atau Timbalannya, Teo Nie Ching yang berkuasa.

Melalui pendedahan ini , Haji Aminuddin berkata, ia juga membuktikan bahawa walaupun memegang jawatan tertinggi dalam KPM, menteri Melayu dalam pentadbiran PH tidak berkuasa dan senang diperkotak-katikkan oleh pihak lain.

 

“Pendedahan ini sekali gus membuktikan jika Pakatan Harapan terus memerintah, pelajar-pelajar sekolah terutamanya orang-orang kampung akan terus jadi mangsa,” katanya.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker