Berita Utama

BERJASA terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana pihak

Miliki kekuatan tersendiri melalui prinsip dan agenda yang diperjuang

Oleh Fazleen Safina

PUCHONG, 24 Muharram 1442H, Sabtu – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengalu-alukan mana-mana pihak bagi mengadakan kerjasama dengan parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz berkata, pihaknya percaya parti itu mempunyai kekuatan tersendiri melalui prinsip yang dibawa selain agenda bersama anak muda.

“Malah, kami yakin terhadap pemimpin parti yang mempunyai kualiti, yang mampu bersuara sebagai Ahli Parlimen ataupun menerajui kerajaan.

“Kami terbuka kepada mana-mana pihak termasuk PEJUANG (Parti Pejuang Tanah Air) dan PUTRA (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

“Kita boleh mengadakan meja rundingan dan buat strategi lain,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Wajah Baharu BERJASA di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai status BERJASA di dalam Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN), beliau yang lebih mesra dipanggil Tok Badh berkata, setakat ini pihaknya tidak menyertai kedua-dua gabungan parti itu.

Bagaimanapun, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali menghubungi PAS, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) untuk mengadakan kerjasama.

“Tapi nampaknya mungkin mereka tidak berminat,” katanya.

Pada masa sama, Tok Badh berkata, meskipun BERJASA telah bergabung dengan PAS dalam Gagasan Sejahtera, namun pihaknya tidak boleh berkompromi dengan prinsip yang dipegang, iaitu hanya meletakkan calon Melayu di kawasan yang dikomposisi bangsa itu.

“Kenapa kami sertai PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai? Ini kerana kami hormati keputusan PAS dan UMNO. Tetapi soal prinsip lebih penting,” katanya.

Boleh lihat video di: https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/852805512158120/?vh=e&extid=oL6tQvgrkwLq7iOR

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button