Berita UtamaUtama

Tun M ada kuasa mutlak pimpin Bersatu, kata Setiausaha Agung

Segala tindak tanduk, arah parti tertakluk keputusan Pengerusi Bersatu

KUALA LUMPUR, 5 Rejab 1441H, Sabtu – Tun Dr Mahathir Mohamad adalah satu-satunya individu yang mempunyai kuasa mutlak memimpin parti sebagai Pengerusi Bersatu, kata Setiausaha Agung parti itu, Datuk Marzuki Yahya.

Dalam kenyataan hari ini, beliau mengesahkan perkara itu adalah mengikut prinsip ‘rule of law’ dan perlembagaan parti. 

Katanya, mengikut Fasal 16.2.1 Perlembagaan Bersatu, tugas-tugas Pengerusi adalah menjadi Pengerusi dan pemimpin utama parti yang bertanggungjawab menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran dan dasar parti. 

“Mengikut Fasal 16.2.2 pula, tugas Pengerusi adalah memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti,” katanya. 

Oleh yang demikian, katanya segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu. 

Kenyataan Marzuki dikeluarkan beberapa minit selepas Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa beliau kini memangku jawatan Pengerusi parti susulan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari. 

Menurut Muhyiddin perkara itu selaras dengan Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu iaitu jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka presiden parti hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih pengerusi yang baharu.

Isnin lepas, Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan pada masa sama melepaskan jawatan Pengerusi Bersatu. 

Sehari selepas itu, Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang bermesyuarat memutuskan sebulat suara menolak peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu.

Pada Khamis, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Marzuki Yahya mengeluarkan kenyataan bahawa Dr Mahathir bersetuju kembali sebagai Pengerusi Bersatu berkuat kuasa serta-merta setelah mengadakan perbincangan dan pertimbangan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close