Berita UtamaPendapat

Wajib dapat nasihat PM?

Agong punya kuasa jelas sekira berkenan bubar Parlimen walau tanpa nasihat PM

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah Yang di Pertuan Agong. Hal ini dinyatakan di dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Namun Perkara 40 mengkehendaki Yang di Pertuan Agong menjalankan tugas dan fungsi baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Beberapa hari ini persoalan banyak dikemukakan kepada saya dalam situasi sekarang adakah Yang Di Pertuan Agong perlu mendapat nasihat Perdana Menteri jika mahu membubarkan Parlimen.

Saya cuba memberi penjelasan di sini tanpa merujuk kepada mana-mana blok politik dalam pendirian sebegini. Ulasan saya hanya berdasarkan peruntukan undang-undang sahaja tanpa memberi sokongan atau sanggahan kepada mana-mana pihak.

Di Malaysia pembubaran Parlimen diperincikan dengan lebih lanjut dan jelas di dalam Perkara 55 yang berbunyi – Perkara 55. Memanggil, memprorog dan membubarkan Parlimen.

(1) Yang di-Pertuan Agong hendaklah memanggil Parlimen dari semasa ke semasa dan tidak boleh membiarkan enam bulan berlalu antara persidangan yang akhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan untuk mesyuarat pertamanya dalam penggal yang berikutnya.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

(3) Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar.

(4) Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.

(5) Sesuatu Rang Undang-Undang yang belum diputuskan di dalam Parlimen tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan Parlimen.

(6) (Dimansuhkan).

(7) Sesuatu Rang Undang-Undang yang menantikan perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (4) atau Fasal (4A) Perkara 66 tidaklah terluput disebabkan oleh pemprorogan atau pembubaran Parlimen.

Oleh itu adalah jelas Yang di Pertuan Agong menurut Perkara 55 mempunyai tiga kuasa yang utama iaitu:

1. Memanggil sidang Parlimen;

2. Memprorog Parlimen;

3. Membubarkan Parlimen.

Perkara 55(2) di atas secara spesifik tidak menyatakan Yang Di Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri. Hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.

Mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa mutlak untuk menghenti atau pun membubarkan Parlimen.

Justeru, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan oleh Perlembagaan untuk menetapkan persidangan Parlimen dalam tempoh masa enam (6) bulan di antara persidangan yang lepas dalam penggal terakhir dan tarikh mesyuarat pertama dalam persidangan penggal akan datang.

Begitu juga membubarkan parlimen begitu biasa kita dengar malah dalam keadaan tertentu rakyat kadangkala tidak sabra-sabar menunggu Parlimen dibubarkan. Cumanya setelah Parlimen dibubarkan ia mestilah diikuti dalam tempoh 60 hari suatu pilihanraya umum diadakan.

Walau bagaimanapun, memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negeri sepertimana tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain dan juga Raja James tersebut selain pada tahun 1969. Peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman telah dibuat mengenainya sebelum ini.

Namun kuasa tersebut ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 55 yang disebut tadi. Cuma bagaimana cara ia dilakukan masih belum ada duluan yang menjadi panduan di Malaysia. Jika Parlimen diprorog, pilihanraya umum tidak perlu diadakan kerana Parlimen masih lagi ada tetapi digantung sahaja.

Berbalik kepada isu keperluan nasihat Perdana Menteri sebelum membubarkan Parlimen persoalan timbul adakah Perkara 40 dan Perkara 55 di atas perlu dibaca bersama yang menjadikan satu keperluan untuk nasihat Perdana Menteri tersebut.

Pada pandangan saya Perkara 40 menyentuh isu tanggjawab berperlembagaan Yang Di Pertuan Agong manakala Perkara 55 berkaitan kuasa baginda. Ia dua perkara berbeza dan tidak boleh dibaca bersama.

Malah berdasarkan prinsip undang-undang yang menyatakan perkara spesifik mengatasi perkara umum, boleh juga dikatakan Perkara 55 (yang merupakan hal spesifik berkaitan prorog dan bubar Parlimen) tidak menyebut keperluan nasihat Perdana Menteri mengatasi Perkara 40 yang bersifat umum.

Penggunaan perkataan-perkataan yang berlainan di dalam Perkara 39 dan Perkara 40 juga perlulah diteliti. Perkara 39 menyatakan tentang kuasa Yang diPertuan Agong manakala Perkara 40 menyatakan Yang Di Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri apabila menjalankan tugas-tugas dan fungsinya di bawah Perlembagaan bukan di dalam melaksana kuasa yang ada pada baginda.

Oleh yang demikian, pada pandangan saya Yang Di Pertuan Agong mempunyai kuasa yang jelas sekiranya baginda berkenan membubarkan Parlimen walaupun tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

Walau apapun pandangan saya ini, saya akur terdapat pandangan yang berlainan. Namun selagi mana Mahkamah Persekutuan belum memutuskan dengan jelas mengenai tafsiran Perlembagaan Persekutuan ini, tiada pandangan yang tuntas dapat dipegang mana-mana pihak kerana Mahkamah Persekutuanlah badan yang paling berotoriti mentafsir Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar 
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close