Berita UtamaUtama

Strategi masukkan DAP dalam kerajaan campuran ditolak

Tindakan Muafakat Nasional desak bubar Parlimen adalah tepat: ISMA

BANGI, 2 Rejab 1441H, Rabu – Tindakan Muafakat Nasional dan gabungan parti pembangkang lain menolak kerajaan campuran membabitkan DAP, sekali gus mendesak supaya Parlimen dibubar adalah tepat bagi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, strategi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memasukkan DAP dalam kerajaan campuran, sekali lagi mengejutkan banyak pihak.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Dr Mahathir itu, walaupun tahu Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak akan menerima DAP, begitu juga rakyat.

“Maka, sudah menjadi persoalan yang besar kenapa Tun berhasrat untuk memasukkan DAP dalam kerajaan perpaduan yang sedang hangat diperkatakan hari ini.

“Sebagai sebuah gerakan NGO Islam, kami melihat keberadaan DAP adalah punca kepada segala kemelut yang berlaku ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, DAP membawa pemikiran sosial demokrat dan menolak Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, selain tidak mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam serta pelbagai siri penentangan terhadap Islam.

Berdasarkan perkara itu, Haji Aminuddin berkata, jika Dr Mahathir ingin meneruskan untuk memasukkan DAP dalam kerajaan, beliau yakin rakyat terutama orang Melayu akan menolak kerajaan perpaduan berkenaan.

“Oleh itu, tindakan Muafakat Nasional dan gabungan parti pembangkang yang lain untuk mendesak supaya Parlimen dibubarkan adalah tepat bagi memberikan mandat kembali kepada rakyat untuk memilih.

“Saya secara peribadi pernah menulis mengenai idea pembubaran Parlimen ini pada pertengahan tahun lepas dan mendapat pelbagai reaksi. Alhamdulillah, satu persatu apa yang diperkatakan itu semakin terserlah. Kita doakan agar kemelut politik negara ini dapat selesai dengan baik dan aman. InsyaAllah,” katanya.

Sejak Ahad lalu, situasi politik negara terus ‘panas’ selepas beberapa pemimpin parti kerajaan dan pembangkang mengadakan mesyuarat tertutup, didakwa untuk penyusunan semula landskap politik Malaysia.

Keadaan semakin panas apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) umum mengundur diri dari Pakatan Harapan (PH), diikuti peletakan jawatan beberapa pemimpin tertinggi PKR dan peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri serta Pengerusi Bersatu.

Semalam, temu duga secara ‘personal’ semua Ahli Parlimen bersama Yang di-Pertuan Agong berlangsung di Istana Negara sehingga hari ini.

Temu ramah itu akan dilakukan secara berperingkat, seorang demi seorang bagi mengenal pasti Ahli Parlimen yang menjadi sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri ke-8.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close