Berita UtamaUtama

PH calonkan Anwar Ibrahim sebagai PM

Keputusan babit pelantikan jawatan, tubuh kerajaan diserah kepada Agong

BANGI, 2 Rejab 1441H, Rabu – Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri PH.

Mengesahkan perkara itu, Anwar berkata, segala keputusan membabitkan pelantikan jawatan perdana menteri dan penubuhan kerajaan yang baharu kini diserahkan sepenuhnya di atas pertimbangan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut memaklumkan bahawa PH sudah memohon kepada Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali bersama PH tetapi ditolak dengan keengganan beliau hadir mesyuarat yang diadakan.

“Ekoran cubaan menubuhkan kerajaan secara pintu belakang, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM. Keputusan Bersatu keluar dari PH pada Isnin lalu, disusuli peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi Bersatu.

“Sehubungan itu, Majlis Presiden PH menjemput Tun Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat itu bagi memulihkan kerajaan Pakatan Harapan, namun Tun tidak bersetuju hadir dalam mesyuarat itu pada petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata, gabungan parti itu berusaha mempertahankan mandat rakyat Malaysia yang diberikan kepada mereka pada 9 Mei 2018 dan tidak bersetuju dengan cubaan menumbangkan kerajaan PH hujung minggu lalu.

“Kerajaan tersebut terbentuk sebagai sebuah gabungan yang diikat dengan muafakat Pakatan Harapan yang dicapai pada 7 Januari 2018; diikuti pelancaran Buku Harapan (Manifesto) Pakatan Harapan pada 8 Mac 2018.

“Di atas asas inilah PH dibentuk, diberi mandat oleh rakyat dan menjalankan amanah sebagai kerajaan. PH tidak bersetuju dengan sebarang usaha menubuhkan kerajaan secara pintu belakang,” katanya.

Beliau berkata, PH kekal komited terhadap aspirasi dan amanat rakyat untuk membawa negara ke arah yang lebih baik dari segenap sudut ekonomi, politik, sosial dan tidak akan mengkhianati amanah itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close