Berita PilihanBerita UtamaUtama

Penjawat awam perlu profesional dalam situasi perubahan pentadbiran negara

Jauhkan diri dari kancah politik, tak pihak mana-mana kumpulan

PUTRAJAYA, 2 Rejab 1441H, Rabu – Perkhidmatan awam adalah tonggak kepada pentadbiran kerajaan dan perlu bertindak secara profesional, dalam mendepani situasi perubahan pentadbiran negara, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).

JPM dalam kenyataan yang dikeluarkan berhubung peranan penjawat awam menyatakan, penjawat awam perlu menjauhkan diri dari kancah politik, demi menjaga integriti dan profesionalisma perkhidmatan awam, bagi memberikan perkhidmatan terbaik, tanpa memihak kepada mana-mana kumpulan.

“Semua penjawat awam perlu bijak mendepani cabaran dan memberi tumpuan kepada menguruskan risiko dan sentiasa turun padang untuk melihat perkembangan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan JPM itu menyatakan perkhidmatan yang diberikan perlu dilaksanakan dengan prinsip penyampaian yang terbaik selaras dengan slogan “Saya Yang Menjalankan Amanah”, kerana rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada penjawat awam, untuk melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Mengurus perubahan merupakan satu tugas yang sukar dan mencabar. Namun, dengan teraju Ketua Setiausaha Negara bersama 1.6 juta penjawat awam, tugas ini akan dilaksanakan dengan penuh amanah, bertanggungjawab, pantas, serta bebas dari kesilapan dan persepsi negatif,” kata kenyataan itu.

Isnin lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerima peletakan jawatan tersebut, kemudiannya berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim sementara menunggu pelantikan perdana menteri dan anggota pentadbiran baharu.

Seri Paduka, atas nasihat Perdana Menteri turut berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri dan sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik, terhenti pada tarikh yang sama.

Menurut kenyataan itu, penjawat awam sentiasa bersedia dengan kefahaman, komunikasi dan kaedah interaksi yang sesuai, dalam mendepani apa juga bentuk perubahan pasukan baharu kelak, ke arah mengukuhkan pentadbiran negara.

“Penjawat awam akan sentiasa mempunyai sifat berdaya tahan dan mudah untuk menyesuaikan diri dalam melaksanakan tanggungjawab kelak, bagi memenuhi ekspektasi rakyat selaku pemegang taruh (stakeholder) kepada pihak kerajaan,” katanya.-Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close