Berita PilihanBerita UtamaUtama

Orang Asli bantah cadangan mansuh status Hutan Simpan Kuala Langat

Hantar 6 surat bantahan kepada Kerajaan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 2 Rejab 1441H, Rabu – Masyarakat Orang Asli di sekitar Hutan Simpan Kuala Langat Utara hari ini menghantar enam surat bantahan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan status pewartaan hutan itu.

Surat bantahan tersebut diserahkan oleh beberapa wakil masyarakat berkenaan kepada kerajaan negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini yang diterima oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah.

Terdahulu, hampir 250 masyarakat Orang Asli pelbagai suku kaum dari 12 kampung di sekitar hutan berkenaan datang ke Shah Alam menaiki lapan bas dan berarak hampir dua kilometer ke bangunan tersebut sebagai solidariti menyokong bantahan itu dihantar oleh wakil mereka.

Wakil kumpulan itu, Rahman Pahat berkata pihaknya amat mengharapkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dapat mempertimbangkan cadangan untuk memansuhkan status hutan itu kerana ia adalah peninggalan nenek moyang mereka.

“Kalau ikutkan sejarah, masyarakat Orang Asli telah lama bertapak di hutan tersebut, kira-kira ratusan tahun. Jika status pewartaan hutan ini dimansuhkan, identiti dan sumber pencarian kami akan terus lenyap.

“Dalam hutan simpan ini masih ada masyarakat Orang Asli yang duduk di dalamnya kerana hutan ini sudah sebati dengan kami kerana di sinilah kami mendapatkan herba kami dan pelbagai hasil hutan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sementara itu, Borhan pula berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan daripada mana-mana pihak berhubung cadangan pemansuhan status hutan simpan berkenaan.

Katanya, bantahan yang dikemukakan oleh kumpulan Orang Asli itu akan dibawa ke dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk pertimbangan lanjut.

Pada Khamis lepas, Amirudin memberitahu bahawa cadangan untuk memansuhkan status hutan simpan itu disebabkan 40 peratus kawasan berkenaan tidak lagi mempunyai elemen hutan dara selain bagi mengelak aktiviti pembakaran hutan secara terbuka berulang.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu masih di peringkat awal dan masyarakat serta komuniti berkaitan boleh mengemukakan pandangan atau bantahan mengenainya kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebelum 5 Mac ini.-Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close