Berita PilihanBerita UtamaUtama

Kumpulan Azmin jumpa Agong 1 tengah hari

Temu bual dilakukan untuk dapatkan kepercayaan memilih PM baharu

KUALA LUMPUR, 2 Rejab 1441H, Rabu – Kumpulan 11 bekas Ahli Parlimen PKR dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, jam 1 tengah hari, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Ampang yang juga bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin ketika dihubungi Berita Harian sebentar tadi.

“Jam 1pm (ke Istana Negara),” katanya ringkas ketika ditanya waktu kumpulannya akan bergerak ke Istana Negara hari ini untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Selain Zuraida, kumpulan diketuai Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut disertai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan 90 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa untuk ditemu bual, manakala baki 131 Ahli Parlimen akan dipanggil menghadap hari ini.

Temu bual itu dilakukan untuk baginda mendapatkan kepercayaan dan keyakinan bagi memilih individu yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Mohamed Azmin dan Zuraida dipecat daripada PKR kelmarin, atas dakwaan melakukan pengkhianatan secara terbuka selepas melakukan pertemuan dengan pemimpin UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selain bertentangan dengan pendirian parti dalam isu peralihan kuasa.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker