Berita UtamaUtama

Jawatan PM Interim terlucut jika tak dapat sokongan majoriti

Ada pihak mungkin cabar keputusan lantik Perdana Menteri Interim

BANGI, 2 Rejab 1441H, Rabu – Perdana Menteri Interim perlu meletakkan jawatan apabila tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

Presiden Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, dalam situasi ini, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti, maka sepatutnya jawatan beliau telah terlucut.

“Oleh itu, beliau perlu menghantar surat peletakan jawatan bagi membenarkan individu yang mendapat sokongan majoriti mengambil alih jawatannya,” katanya ketika Temu bual Kerusi Panas TV Pertiwi, malam ini.

Terdahulu, Barisan Nasional (BN) dan PAS memutuskan untuk menarik balik akuan bersumpah (SD) menyokong Dr Mahathir.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu terpaksa dibuat berikutan wujud cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan dari Dr Mahathir.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju mencalonkan Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pilihan mereka, selepas Dr Mahathir meletak jawatan itu pada Isnin.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, Majlis Presiden PH pada Selasa lepas telah menjemput Dr Mahathir untuk mempengerusikan mesyuarat bagi memulihkan kerajaan PH, namun beliau tidak bersetuju untuk hadir.

“Justeru itu, keputusan Majlis Presiden semalam, telah menetapkan bahawa calon Perdana Menteri PH ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada satu sidang media khas, hari ini.

Mengulas lanjut, Lukman Sheriff berkata, perkara asas sesebuah demokrasi adalah mereka yang mempunyai sokongan majoriti.

Beliau berkata, sekiranya seseorang Perdana Menteri Interim itu dilantik oleh kerajaan, maka beliau tiada kuasa sepenuhnya sebagai perdana menteri.

“Kalau Perdana Menteri Interim itu dilantik mengikut Perlembagaan, maka beliau ada kuasa penuh sebagai perdana menteri termasuk melantik anggota kabinet. Jadi, ia bergantung kepada intrepretasi kita,” katanya.

Pada masa sama, Lukman Sheriff berkata, terdapat kemungkinan mana-mana pihak untuk mencabar bagi menyemak kembali keputusan Perdana Menteri Interim.

Katanya, sekiranya pelantikan Perdana Menteri Interim membabitkan isu berkaitan kewangan negara tergugat, maka keputusan pelantikan itu boleh dipertikaikan.

“Keputusan Perdana Menteri Interim yang perlu dibawa ke Parlimen juga boleh dipertikaikan. Jadi, kita lihat apa keputusan yang bakal dilakukan,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close