Berita UtamaUtama

Tindakan ibu paksa guru agama merangkak langgar hak individu

Ambil tindakan undang-undang supaya profesion perguruan dihormati

BANGI, 1 Rejab 1441H, Selasa – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) kesal atas tindakan seorang ibu mengaibkan guru sekolah agama apabila memaksa guru berkenaan merangkak sekeliling kelas.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan wanita terbabit menyuruh ustazah sekolah itu merangkak di hadapan murid mencabar profesionalisme seorang guru.

“Sewajarnya seorang ibu jika ada isu berkaitan dengan guru perlu dibawa ke meja perundingan dengan pihak sekolah dan bukan mengambil tindakan tersebut secara terburu- buru tanpa kawalan emosi dengan mengaibkan guru tersebut.

“Ibu tersebut sepatutnya boleh berbincang dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau menggunakan saluran perundangan yang bersesuaian,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang ibu bertindak biadab memperlekehkan guru sekolah agama anaknya apabila memaksa guru berkenaan merangkak sekeliling kelas.

Tindakan itu kononnya sebagai hukuman atas tindakan guru terbabit menghukum anaknya dengan kesalahan sama pada hari sebelumnya. Bukan itu sahaja, ibu terbabit bertindak merakam perbuatan ustazah merangkak, yang turut diikuti beberapa pelajar sebelum menularkan di media sosial.

Lokasi kejadian dipercayai berlaku di madrasah di Bagan Datoh, Perak.

Dalam perkembangan sama, iGuru menganggap tindakan ibu tersebut yang menviralkan video itu melanggar hak individu.

Justeru, Ustaz Mohd Azizee menegaskan supaya pihak sekolah mengambil tindakan sewajarnya dengan apa cara sekalipun agar profesion perguruan dihormati dan dijunjung tinggi.

“Pihak sekolah atau mereka yang berkaitan perlu menggunakan tindakan undang-undang bagi mengelak perkara seperti ini berlaku.

“iGuru pernah mencadangkan diwujudkan kod etika penguatkuasaan disiplin kepada pelajar dan penggubalan akta yang dapat membela warga guru apabila berdepan dengan tindakan ibu bapa.

“iGuru yakin bahawa jalan penyelesaian terbaik ialah melalui perundingan dan perbincangan harmoni antara pihak sekolah, ibu bapa dan guru tersebut demi memastikan kebajikan guru terbela dan pendidikan murid-murid terjaga,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close