Berita UtamaUtama

TH lantik tiga pegawai kanan kukuhkan kewangan, pelaburan

Lantikan baharu babitkan posisi Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Pelaburan dan Pengurus Besar Pelaburan Strategik

BANGI, 1 Rejab 1441H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan tiga lantikan baharu pengurusan kanan bagi mengukuhkan pentadbiran kewangan dan pelaburannya.

TH dalam satu kenyataan berkata, lantikan baharu itu membabitkan posisi Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Pelaburan dan Pengurus Besar Pelaburan Strategik.

Berkuatkuasa 5 Februari lalu, TH telah melantik bekas Pengerusi Jawatankuasa Penasihat ACCA Malaysia, Datuk Merina Abu Tahir sebagai Ketua Pegawai Kewangan.

“Beliau mempunyai lebih daripada 30 tahun pengalaman bekerja di pelbagai syarikat tempatan dan antarabangsa termasuk multinasional, institusi kewangan dan amalan audit.

“Pengalaman luas Datuk Merina meliputi aspek pengurusan umum, kewangan, komersial, pembangunan perniagaan dan audit dalaman dan luaran,” kata TH.

Bagi mengukuhkan pengurusan pelaburan, TH juga melantik Penganalisis Kewangan Bertauliah, Mohamad Damshal Awang Damit sebagai Ketua Pegawai Pelaburan, berkuatkuasa 20 Januari lalu.

“Beliau mempunyai lebih daripada 26 tahun pengalaman bekerja khususnya dalam bidang pengurusan pelaburan domestik dan luar negara, analisa kredit serta kawal selia risiko, termasuk pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat dana pelaburan komersial.

“Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat di TH dari 1999 sehingga 2003 di bahagian perancangan korporat dan pernah mengetuai pengurusan portfolio pelaburan pendapatan tetap,” katanya.

TH turut melantik Muhammad Fawwaz Aminuddin sebagai Pengurus Besar Pelaburan Strategik bagi meningkatkan potensi pelaburan aset strategiknya, berkuatkuasa 11 Februari lalu.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan strategi pelaburan dengan pengkhususan dalam perancangan strategik, pembangunan organisasi, penstrukturan transaksi, kewangan korporat, pengurusan projek, penilaian pelaburan serta pembangunan perniagaan.

“Sebelum menyertai TH, beliau berkhidmat sebagai Pengurus Besar di UMW Group dan sebagai pengurusan tertinggi beberapa buah syarikat di Timur Tengah,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close