Berita UtamaDunia

PM Lubnan umum tak tanding semula pilihan raya Parlimen

Ambil langkah untuk beri ruang kepada generasi baharu

BEIRUT, 12 Syaaban 1443H, Selasa – Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati mengumumkan tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 15 Mei depan.

Kenyataan itu – yang dibuat menerusi ucapan dalam televisyen – menyebabkan politik Islam Sunni di Lubnan menjadi lebih kucar-kacir, dua bulan selepas undian dilihat penting bagi menghidupkan semula kehidupan masyarakat di Lubnan pada tahun ketiga krisis kewangan.

Ia susulan pengumuman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri pada Januari lalu bahawa beliau akan menarik diri daripada politik dan Pergerakan Masa Depan (Future Movement) – yang kini mempunyai kira-kira 20 Ahli Parlimen – tidak akan meletakkan calon.

Hariri ialah ahli politik Sunni terkemuka di negara itu.

Perjanjian perkongsian kuasa menetapkan Perdana Menteri mesti terdiri seorang Muslim Sunni, Presiden beragama Kristian Maronit dan Speaker Parlimen perlu digalas oleh ahli politik berfahaman Syiah.

Semua kerusi dalam badan perundangan Lubnan – yang mempunyai 128 ahli – juga diperuntukkan oleh mazhab agama, dengan 27 kerusi diketepikan untuk Sunni – kebanyakannya kini diperuntukkan untuk direbut.

Sambil mengumumkan beliau tidak akan bertanding, Mikati menggesa warga Lubnan untuk keluar mengundi dan berkata, langkahnya bertujuan ‘memberi ruang kepada generasi baharu’.

Keputusan Hariri sebelum ini menimbulkan kebimbangan berhubung kemungkinan boikot undi oleh Sunni yang boleh menjejaskan proses pilihan raya, walaupun beberapa calon Sunni lain sedang bertanding. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button