Berita UtamaUtama

Syor jadikan Hutan Kuala Langat tempat rekreasi, penyelidikan

Ambil pendekatan mesra alam jika rancang pembangunan jajaran ECRL

BANGI, 1 Rejab 1441H, Selasa – Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM) mengesyorkan, kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dikekalkan dan dijadikan sebagai hutan rekreasi serta penyelidikan bagi mendidik generasi muda mencintai alam sekitar hutan paya gambut.

Pengerusi SALAM, Dr Kamil A Tohiran dalam satu kenyataan berkata, cadangan itu dengan mengambil kira lokasinya yang strategik di kawasan pembangunan sedia ada di sekitarnya dan Lembah Klang secara amnya.

Tegas beliau, cadangan pemansuhan status Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi Hutan Simpan Kuala Langat Utara oleh kerajaan negeri dijangka akan mengundang kepada konflik hidupan liar dan manusia di kawasan 400 hektar yang ditinggalkan, khusus bagi komuniti Orang Asli di kawasan itu.

“Kerajaan negeri harus sedar, pembukaan kawasan sensitif seperti itu akan mengundang kemusnahan satu ekosistem yang unik dan tidak mungkin boleh diganti dengan kawasan lain kerana setiap kawasan hutan itu mempunyai keunikan biodiversitinya sendiri.

“Saki baki kawasan hutan paya gambut ini wajib dipertahankan kerana ia merupakan sebahagian daripada 25 juta hektar kawasan sepertinya di seluruh Asia Tenggara yang semakin terancam.

“Kawasan paya gambut ini penting dalam fungsinya sebagai penghubung kepada kawasan tanah mineral dan kawasan tanah berair, di mana kawasan ini memainkan peranan sebagai kawasan pertukaran aliran air dan kitaran nutrien yang penting bagi keseimbangan ekosistem kita,” kata beliau.

Dr Kamil turut menegaskan bahawa sebarang pembangunan di kawasan itu juga mengundang pandangan negatif dunia terhadap keprihatinan negara ini dalam isu alam sekitar khususnya dalam isu pelepas gas rumah hijau.

“Oleh yang demikian, SALAM menyeru Kerajaan Selangor mengambil pendekatan yang mesra alam jika merancang pembangunan (jajaran ECRL) di kawasan sensitif seperti kawasan hutan dara.

“Model pembangunan bagi pembinaan Pintasan Rawang (Rawang Bypass) yang telah dibuka pada 28 November 2017 wajar dijadikan contoh.

“Dalam projek itu, kemusnahan akibat pembangunan telah diminimakan dengan mengambil kira kepentingan biodiversiti unik dan ekosistem yang terdapat di kawasan tersebut melalui inovasi kejuteraan tempatan,” kata beliau.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Selangor mengeluarkan notis cadangan bagi memansuhkan pewartaan status hutan simpan itu menerusi ruangan iklan di akhbar tempatan.

Perkara itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada badan bukan kerajaan dan orang awam.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Kerajaan Selangor menjelaskan keputusan untuk mengeluarkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara masih di peringkat mendengar pandangan awam.

Warta mengenainya belum dikeluarkan dan cadangan itu masih di peringkat penyediaan laporan.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close