Berita UtamaUtama

Singapura larang kemasukan pelancong dari Daegu, Cheongdo

Nasihati pengembara untuk elak kunjung ke 2 wilayah tersebut

SINGAPURA, 1 Rejab 1441H, Selasa – Singapura bakal melarang kemasukan pelancong dari Daegu dan Cheongdo susulan peningkatan bilangan kes positif COVID-19 dari kedua-dua bandar Korea Selatan itu, kata Kementerian Kesihatan Singapura (MOH).

Menurut satu kenyataan di sini hari ini, kementerian itu berkata, semua pelancong baharu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kedua-dua bandar dalam tempoh 14 hari lepas tidak akan dibenarkan memasuki atau melakukan transit melalui Singapura “mulai 26 Februari 2020, jam 2359.”

MOH berkata, setakat tengah hari ini, Korea Selatan melaporkan sejumlah 893 kes jangkitan COVID-19 yang telah disahkan – 501 kes dikaitkan dengan Shincheonji Church of Jesus di Daegu manakala 113 dengan Hospital Daenam di Cheongdo.

Selain itu, MOH berkata, 246 kes sedang disiasat dan tidak mempunyai kaitan dengan kedua-dua kluster.

Kedua-dua bandar ditetapkan sebagai “zon penjagaan khas” dan kerajaan Korea Selatan telah meningkatkan tahap amaran kepada serius, serta secara agresif memperkukuh sistem responsnya bagi mengurangkan risiko jangkitan lanjut.

“Dengan situasi penularan yang begitu cepat di rantau ini, pelancong dan pengembara yang kembali dari Daegu dan Cheongdo mendatangkan risiko tinggi kepada Singapura,” menurut kenyataan itu.

Selain melarang kemasukan pelancong baharu, MOH berkata, penduduk yang terdiri daripada Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap dengan sejarah perjalanan ke kedua-dua bandar dalam tempoh 14 hari lepas akan dikeluarkan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN).

Notis itu juga terpakai kepada pemegang pas jangka panjang termasuk pas dan permit kerja, pas pelajar serta pas lawatan jangka panjang.

Di bawah SHN, MOH berkata, penerima notis perlu berada di kediaman mereka pada setiap masa bagi tempoh selama 14 hari selepas kembali ke Singapura.

Dua hari lepas, Singapura telah menasihati pengembara untuk mengelak melakukan perjalanan tidak perlu ke Daegu dan Cheongdo. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close