Berita UtamaUtama

BN, PAS dan PBRS tuntut bubar Parlimen

Tolak kerajaan kerana banyak bercanggah dasar ditetapkan parti

BANGI, 1 Rejab 1441H, Selasa – Barisan Nasional (BN), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta PAS sepakat mahu Parlimen dibubarkan berikutan situasi yang melanda negara ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendirian itu dibuat susulan ada cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan membabitkan beberapa pemimpin parti politik.

Katanya, pendirian Parlimen dibubarkan sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

“Berasaskan kemungkinan mahu dibentuk kerajaan perpaduan secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar yang ditetapkan parti.

“Apa-apa perkiraan mestilah atas dasar parti. Selepas parti berbincang, kita tidak boleh menyembunyikan kepada rakyat dan mohon Parlimen dibubarkan. Biarlah rakyat yang menentukan,” katanya dipetik Berita Harian.

Annuar juga mengesahkan bahawa blok itu pada hari Ahad memaklumkan kepada Agong mengenai sokongan mereka terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memimpin kerajaan baharu.

Bagaimanapun katanya, sokongan itu adalah dengan syarat DAP tidak akan menjadi sebahagian daripada gabungan baharu itu.

Terdahulu, seramai 90 Ahli Parlimen dipanggil untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Semua ahli Parlimen itu bagaimanapun tidak dipanggil mengikut parti, sebaliknya pertemuan secara bersemuka dan rawak itu dilakukan mengikut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, serta bermula jam 2.30 petang tadi.

Sesi temu bual antara ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong itu julung kali diadakan, bertujuan menentukan sokongan kepada pihak tertentu bagi membentuk kerajaan baharu.

Setiap ahli Parlimen diperuntukkan antara dua hingga tiga minit untuk menyatakan pandangan masing-masing, sepanjang temu bual berlangsung.

Difahamkan, baki lagi 131 ahli Parlimen akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close