Berita UtamaDuniaUtama

71 lagi korban COVID-19 di China

Iraq sekat kemasukan pelancong dari 7 negara, termasuk Thailand

WUHAN, 1 Rejab 1441H, Selasa – China terus mencatatkan peningkatan jangkitan Novel Coronavirus (COVID-19) dengan 508 kes baharu dan 71 kematian direkodkan hari ini.

Selain negara Asia, wabak berkenaan telah merebak di beberapa negara Timur Tengah, Afrika, Amerika Utara dan Eropah dengan 80,000 kes jangkitan di seluruh dunia.

Setakat Selasa, jumlah keseluruhan kes di China meningkat kepada 77,658 dan 2,663 kematian direkodkan.

Wabak terus meningkat di Korea Selatan, dengan 144 kes baharu menjadikan 977 kes dan 10 kematian. Sementara, angka kematian di Iran juga meningkat kepada 15 orang.

Dalam pada itu, Iraq turut mengesahkan empat kes positif COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima kes, menurut Kementerian Kesihatan negara berkenaan.

Kementerian memaklumkan, pesakit yang disahkan positif wabak berkenaan pernah mempunyai rekod perjalanan ke Iran.

Susulan penularan wabak di negara itu, Iraq menyekat kemasukan pelancong di beberapa lagi negara lain, selain dari China dan Iran. Ia membabitkan Thailand, Korea Selatan, Jepun, Itali serta Singapura.

Bagaimanapun, larangan itu dikecualikan terhadap rakyat Iraq, diplomat dan delegasi rasmi, kata kementerian.

Kerajaan juga memutuskan menutup sekolah dan universiti selama 10 hari di Najaf – wilayah pertama kes coronavirus dikesan – selain meminta rakyat mengelakkan perjalanan ke wilayah berkenaan.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close