Berita Utama

Apa lagi nak ‘dihalalkan’ atas nama hak bukan Islam?

Pertunjukan 'Thai Hot Guy' cemar Ramadan, hina kehormatan Islam

BANGI, 29 Syaaban 1444H, Rabu – Apa lagi yang ingin negara ‘halalkan’ atas nama hak untuk bukan Islam, meskipun hakikatnya menipu diri sendiri atas nama kebebasan?

Demikian kekecewaan diluahkan Aminuddin Yahaya terhadap pertunjukan ‘Thai Hot Guy’ yang dijadualkan berlangsung di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Mac ini.

Menurutnya, pertunjukan itu sebagai sebuah tarikan pelancong ‘masyhur’ di Thailand yang dibawa masuk ke Malaysia, di mana lelaki berbadan sasa akan berpakaian seksi menjadi pelayan restoran dengan aksi-aksi mengghairahkan.

“Paling mengecewakan, ianya dibuat dalam bulan Ramadan. Memang betul-betul mencemarkan bulan Ramadan, sekali gus menghina kehormatan Islam sebagai agama negara.

“Bayangkanlah bagaimana orang-orang luar, termasuk orang-orang Thai ini akan memandang Malaysia selepas ini.

“Pasti mereka akan rasa kita tidak lagi sensitif dengan imej negara sebagai sebuah negara yang penuh adab ketimuran dan prinsip-prinsip Islami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meskipun pertunjukan itu didakwa bukan untuk orang Islam, Jurucakap Gagasan Bangsa itu tetap menganggapnya tidak membawa sebarang faedah kepada orang bukan Islam terutama generasi muda.

“Inikah jenis hiburan yang kita ingin biarkan disajikan kepada mereka? Saya desak pihak majlis agama, DBKL dan pihak polis berganding bahu berusaha untuk menyekat program ini.

“Contohnya, DBKL boleh gantung lesen perniagaan manakala majlis agama boleh mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Menteri Agama (Menteri Agama memang jaga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, sudah banyak kali diminta untuk lebih cakna dan sensitif terhadap program-program yang merosakkan sebegini.

“Kalau pertubuhan-pertubuhan Melayu nak buat program sikit, bukan main lagi sekat sini sana. Memalukan!,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button