Berita Utama

Malaysia digesa lobi negara Islam beri tekanan pada Israel, sekutu

Serangan hospital, sekatan bantuan gambarkan sifat 'binatang' Zionis

BANGI, 30 Rabiulakhir 1445H, Selasa – Kerajaan Malaysia digesa bersikap lebih proaktif untuk melobi negara-negara Islam supaya tegas dalam memberi tekanan kepada Israel dan negara sekutunya dalam isu pencerobohan rejim ke atas Semenanjung Gaza.

Mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Israel menyekat bantuan kepada penduduk Gaza, Pemudi BERJASA turut menggesa kerajaan tidak tunduk dengan kekejaman Zionis di wilayah itu.

Ketua Pemudi BERJASA, Azliza Rajain berkata, sekatan bantuan menggambarkan sifat ‘binatang’ rejim Israel kerana menyebabkan enam bayi pramatang di Hospital Al-Shifa terbunuh akibat tiada bekalan oksigen dan elektrik.

Bahkan, beliau menegaskan, tindakan rejim Israel mengebom hospital dan menembak sesiapa sahaja yang cuba keluar jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Di manakah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Mengapa Liga Arab kelihatan terlalu lemah sehingga tiada satu resolusi mampu dicapai bagi membantu Palestin?

“Malah pemimpin-pemimpin negara Islam juga dilihat seperti tunduk menikus dengan pembunuhan besar-besaran ini,” katanya.

Menurut Azliza, sejak sebulan lalu, lebih 4,000 kanak-kanak Palestin terbunuh, manakala 1,270 yang lain masih dilaporkan hilang.

Katanya, serangan tanpa henti Israel di Gaza turut memburukkan krisis kesihatan mental kanak-kanak apabila tiada lagi perkhidmatan kesihatan mental mampu disediakan.

“Kerajaan Malaysia perlu menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan OIC untuk segera campur tangan bagi membawa bahan api ke Semenanjung Gaza bagi meneruskan kembali operasi hospital-hospital di wilayah itu,” katanya.

Sekurang-kurangnya 11,240 rakyat Palestin telah terkorban, termasuk lebih 7,760 kanak-kanak dan wanita, dan lebih 28,200 yang lain telah cedera setakat hari ke-38 pencerobohan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Bahkan, ribuan bangunan termasuk hospital, masjid dan gereja rosak serta musnah dalam serangan tanpa henti Israel di wilayah terkepung itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button