Berita UtamaUtama

Wanita AS positif COVID-19 makin pulih dari jangkitan

Pesakit masih dipantau pihak hospital kerana alami batuk

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Kes ke-22 membabitkan seorang wanita warganegara Amerika Syarikat (AS) yang disahkan positif Coronavirus Disease (COVID-19) pada 15 Februari lalu, telah menunjukkan perkembangan status kesihatan yang sangat baik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita berumur 83 tahun itu bagaimanapun masih lagi dipantau di hospital kerana mengalami batuk.

Merujuk kenyataan akhbar pada 15 Februari lalu, beliau berkata, wanita itu dikesan bergejala melalui ‘thermal scanner’ sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham berkata, pemeriksaan klinikal dan ujian x-ray dada mengesahkan pesakit mempunyai penyakit radang paru-paru (pneumonia), dan dimasukkan ke wad isolasi di hospital berkenaan.

“Sampel klinikal oropharyngeal dan nasopharyngeal telah diambil. Ujian pengesahan COVID-19 bagi kedua-dua sampel ini telah dijalankan sebanyak dua kali oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan kedua-dua ujian disahkan positif pada 15 Februari 2020.

“Kes telah diberikan rawatan antiviral (lopinavir/Ritonavir) dan bantuan oksigen bagi gejala yang dihadapinya. Setelah lebih 72 jam diberikan rawatan, kes telah menunjukkan perubahan kesihatan yang baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, ujian ulangan pengesahan COVID-19 telah dijalankan sebanyak dua kali dengan jarak masa 24 jam bagi setiap satu ujian, dan menunjukkan keputusan negatif.

Beliau berkata, merujuk kepada dapatan terkini kajian berkaitan COVID-19, hampir 80 peratus pesakit coronavirus yang dilaporkan adalah pesakit yang mengalami gejala yang ringan dan tiada rawatan spesifik atau antiviral diperlukan bagi penyakit ini.

“Kebanyakan pesakit hanya memerlukan rawatan simptomatik (seperti demam, batuk dan selsema) dan isolasi kes perlu dijalankan bagi mengelakkan penularan penyakit ini kepada orang lain. Hal ini kerana, kebanyakan kes yang telah disahkan positif, sistem imun badan manusia akan menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan virus ini.

“Walau bagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mempunyai sistem imun yang kuat, contohnya warga emas, di mana jangkitan virus COVID-19 ini menyebabkan komplikasi yang teruk dan memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti antiviral,” katanya.

Katanya, ujian makmal pengesahan COVID-19 ulangan akan dijalankan ke atas semua kes yang disahkan positif, setelah pesakit menunjukkan perkembangan yang baik bagi gejala klinikal yang dialaminya.

“Hal ini adalah untuk memastikan bahawa kes telah sembuh sepenuhnya dan bebas daripada virus COVID-19. Ini adalah penting bagi memastikan kes selamat untuk dibenarkan pulang dan tidak menjangkiti orang lain,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close