Berita UtamaUtama

Pemandu mabuk: Wujudkan undang-undang dapat ‘gerunkan’ pengguna jalan raya

Tidak ada salah sekiranya kerajaan pertimbang laksana hukuman mati

Oleh Siti Haifdah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Kerajaan disarankan membuat undang-undang ‘menggerunkan’ pemandu mabuk supaya mereka tidak lagi cuai sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzmi Johan berkata, kerajaan perlu melihat isu ini secara bersungguh-sungguh berikutan ramai yang cedera dan mati akibat sikap tidak bertanggungjawab individu mabuk.

Bahkan, beliau berpandangan, kena ada undang-undang yang lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkenaan kerana undang-undang sedia ada mungkin tidak cukup kuat untuk menakutkan pesalah.

“Selain itu, penjualan alkohol perlu dilihat kembali dari segi kaedah penjualan yang terbuka serta tanpa kawalan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Kes pemandu mabuk saban hari berlaku dan yang terbaharu dua hari lalu apabila pemilik kilang besi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk merempuh pintu kaca mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Kampung Baru, Bukit Mertajam.

Sementara dua hari sebelum kejadian itu, empat beranak cedera termasuk bayi perempuan bersama ibunya parah, apabila mereka dirempuh sebuah kereta kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Minggu lalu, dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di KM13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementera Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.

Dalam pada itu, Nadzmi berkata, tidak ada salahnya sekiranya kerajaan mempertimbangkan hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

“… mereka ini jenis tidak sedar diri. Maknanya kita kena buat undang-undang yang menakutkan orang kerana apabila mereka takut, mereka akan mengambil tindakan yang tidak cuai,” kata beliau.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close