Berita UtamaUtama

Pecat AG!

Gugur kes LTTE: Tommy Thomas hina sistem keadilan

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atas tindakan menghentikan prosiding terhadap 12 individu yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat Malaysia (Macsa), Lukman Sheriff Alias menyifatkan, tindakan Tommy berhubung perkara itu amat menyedihkan malah menghina sistem keadilan.

“…peguam negara dan mahkamah sebelum ini telah mendakwa dan menghukum beberapa individu menyokong Daesh. Daesh dan LTTE ialah organisasi pengganas.

“Rule of law menuntut peguam negara mengendalikan kesalahan sama dengan cara sama tanpa rasa takut atau memihak. Ia bukan budi bicara beliau untuk melaksanakan undang-undang secara terpilih.

“Selagi undang-undang itu ada, beliau mesti menguatkuasakannya secara adil dan saksama. Kecuali Parlimen memansuhkan undang-undang, peguam negara bertanggungjawab untuk menguatkuasakannya tanpa diskriminasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Lukman Sheriff menegaskan bahawa Tommy tidak mempunyai tugas atau kepakaran untuk menentukan organisasi mana yang merupakan kumpulan pengganas.

“Peguam negara bertugas mematuhi undang-undang,” tegas beliau.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini menegaskan bahawa LTTE masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.

Beliau berkata, Tommy tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa menteri dalam negeri, susulan tindakannya menghentikan serta-merta pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan itu semalam.

Peguam negara sebelum ini memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh yang berdepan pertuduhan berkaitan LTTE dalam mana-mana 34 pertuduhan dan bertindak memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close