Berita UtamaUtama

Orang politik jangan campur tangan urusan pendidikan

Jangan jadikan modal raih undi, serah pada Kementerian Pendidikan

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Isu pendidikan negara bukanlah tempat untuk menampakkan sesebuah parti politik sebagai juara kepada rakyat seperti mana yang dilakukan MCA dalam memperjuangkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ketua Satu Gabungan Penulis-Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, sepatutnya mana-mana parti atau ahli politik tidak menjadikan pendidikan sebagai modal dalam memenangi hati pengundi.

“Ahli-ahli politik jangan campur tangan dalam isu-isu pendidikan kerana pendidikan adalah pembentukan negara bangsa.

“Daripada pendidikan kita dapat memikirkan masa hadapan, jika orang politik campur tangan dan ingin menunjukkan kuasa masing-masing malah tunjuk pandai dalam hal pendidikan maka ia akan rosak pendidikan itu.

“Masalah politik yang terjadi ini yang menyebabkan kerosakan pendidikan sekarang ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Zainal Abidin menggesa agar sistem pendidikan negara dikendali oleh golongan profesional iaitu pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan.

“Kita perlu menghormati profesionalisme yang dimiliki oleh Kementerian Pendidikan dalam membawa pendidikan negara,” katanya lagi.

Terdahulu, MCA menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjustifikasikan alasan kerajaan yang dilihat tidak lagi membuka pengambilan untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan untuk Sijil Peperiksaan Bersama UEC (PISMP-UEC) kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Belia Negara MCA, Ng Sing Phing berkata, program PISMP-UEC adalah satu-satunya jalan kepada pemegang sijil kelulusan UEC untuk menjadi penjawat awam menerusi jawatan guru.

Justeru katanya, dengan tindakan baharu kerajaan yang tidak lagi merekrut guru bahasa Cina tahun ini, pelajar UEC seolah telah disisihkan dalam perkara ini.

Sing Phing turut mendesak pemimpin DAP itu menyatakan pendiriannya sama ada sehaluan atau tidak bersetuju dengan pendekatan semasa yang diambil kerajaan dalam perkara itu.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close