Berita PilihanBerita UtamaUtama

Mural khat jawi warnai jambatan Kampung Pisang

Hasil kerja tangan suri rumah, didorong rasa cinta terhadap khat

BATU GAJAH, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Mural sering memaparkan lukisan mahupun tulisan di atas sesuatu permukaan misalnya wajah kanak-kanak, flora dan fauna atau yang berbentuk abstrak bagi mengambarkan sesuatu ekspresi.

Namun, di Kampung Pisang dekat Kellies Castle di sini yang terkenal sebagai lokasi ‘wajib kunjung’ jika ke Perak, terdapat 14 mural khat tulisan jawi pada jambatan memaparkan selawat dan zikir yang menjadi tarikan terbaru.

Empat belas mural mewarnai dinding jambatan Kampung Pisang menuju ke Desa Sentral itu merupakan hasil kerja tangan seorang suri rumah, Nurfarahin Nordin, 26, pada November lepas yang didorong rasa cinta terhadap seni khat.

“Jambatan itu sebelum ini dipenuhi semak samun tapi telah dibersihkan oleh ayah mentua saya, Mohamad Ramli Othman yang juga ketua kampung.

“Beliau mencadangkan agar saya membuat khat untuk menambah keindahan sekali gus mengingatkan kepada orang ramai yang melalui jalan ini supaya sentiasa berzikir, maka kerana minat saya berusaha menghasilkan tulisan khat jenis Khat Diwani Jali,” katanya ketika ditemui Bernama.

Bercerita lebih lanjut, Nurfarahin yang merupakan ibu kepada seorang anak berkata beliau mengambil masa selama empat minggu untuk menyiapkan kesemua lukisan menggunakan cat mural dengan kos sendiri sebanyak RM300.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, kerja menyiapkan lukisan mural setinggi kira-kira dua meter memerlukannya memanjat tangga dan ia dilakukan pada hujung minggu dengan dibantu suami, Mohammad Syahrul Aswad, 27, yang bekerja sebagai penasihat kewangan di sebuah bank berhampiran.

“Dalam proses menghasilkan lukisan mural ini, suami terlebih dahulu mengecat permukaan dengan warna putih sebelum saya memulakan lakaran, mengecat dan diakhiri dengan sapuan cat ‘clear’ supaya tidak mudah luntur disebabkan panas dan hujan,” katanya.

Nurfarahin yang tinggal di Bandar Tasik Idaman, Kampung Pisang berkata beliau berasa gembira kerana usahanya mendapat reaksi positif bukan sahaja daripada penduduk sekitar, malah orang ramai di seluruh negara selepas gambarnya tular di media sosial.

Ramai warganet memuji usaha Nurfarahin kerana walaupun berbadan kecil, beliau tidak kisah untuk memanjat tangga, malah sanggup berpanas terik semata-mata untuk memastikan hasil seninya disiapkan dengan sempurna.

Pemegang Ijazah Kewangan dan Perbankan Islam daripada Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah itu berkata minatnya terhadap seni khat jawi bermula sejak di sekolah rendah.

Kini, Nurfarahin mengambil tempahan tulisan khat yang dihasilkan pada kanvas, bingkai serta bekas pensil dengan tempahan datang dari seluruh negara. Orang ramai yang ingin melihat hasil seni tangannya boleh melayari instagram beliau di farahtasneem dan facebook Farah Tasneem.-Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close