Berita PilihanBerita UtamaUtama

ISMA tempelak gesaan Anwar pertimbang hukuman pesalah IS

Pengganas antarabangsa bukan isu remeh, libat keselamatan negara

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Isu pengganas terutamanya pergerakan organisasi antarabangsa bukannya isu jenayah yang remeh dan biasa-biasa.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, ini kerana isu tersebut melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Maka, beliau berharap, pemimpin politik agar berhati-hati dalam membuat apa-apa kenyataan bagi mengelakkan mesej yang salah disampaikan kepada rakyat.

“Rakyat perlu menyerahkan isu sebegini kepada pihak keselamatan dan ianya perlu bebas dari campur tangan dan pengaruh mana-mana pihak sepanjang siasatan dijalankan.

“Kemudian, barulah pihak mahkamah boleh membuat keputusan. Kita masih lagi yakin dengan mahkamah selagi mana ianya bebas dari pengaruh dan campur tangan orang-orang politik kepartian.

“Namun, dalam kes pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam) ini, kita kecewa dan terkilan kerana proses mahkamah belum lagi berjalan tetapi peguam negara telah menggunakan kuasanya untuk menggugurkan prosiding walaupun kita yakin pihak polis ada bukti yang kuat sebagaimana yang telah didedahkan melalui kenyataan-kenyataan di media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan semula hukuman terhadap pesalah IS sebagaimana perkara sama diberikan terhadap tahanan LTTE.

Presiden PKR itu menyatakan bersetuju sekiranya kaji selidik dibuat terhadap perkara tersebut, malah beliau juga pernah menyuarakan mengenainya kepada menteri dalam negeri.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Sehubungan itu, Haji Aminuddin berharap, para pemimpin politik bertindak matang dengan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang memberi kesan tidak baik.

“Saya sangat berharap agar ahli-ahli politik tidak mengeluarkan kenyataan semberono kononnya demi populariti tanpa memikirkan akibat dan implikasinya. Semoga Allah pelihara negara kita dari kehancuran,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close