Berita UtamaUtama

Gugur kes LTTE: Sistem perundangan negara dalam ‘kegelapan’

Dah hilang kredibiliti, Tommy Thomas wajar dipecat serta-merta

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 28 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Tindakan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menghentikan prosiding ke atas 12 individu yang disyaki menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) disifatkan sebagai penghinaan terhadap integriti badan perundangan negara.

Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad berkata, sejak dilantik sebagai peguam negara, ia bukan kali pertama kes membabitkan kepentingan DAP serta individu yang rapat dengan Tommy digugurkan dengan alasan tidak munasabah dan penuh keraguan.

Beliau menyifatkan, pengguguran satu lagi kes memperlihatkan sistem perundangan dan keadilan negara berada dalam dunia kegelapan.

“Adakah kini sistem perundangan yang bukan sahaja sepatutnya menjalankan keadilan malah perlu untuk dilihat menegakkan keadilan sudah hampir tidak wujud dari kaca mata rakyat? Saya kira ianya bukan sesuatu yang mustahil dek melihat kes-kes yang yang digugurkan oleh peguam negara.

“Dari kes rasuah berprofil tinggi melibatkan seorang menteri kanan dari DAP, kes pembunuhan Muhammad Adib yang dikata berpunca dari segolongan samseng India, sehinggalah apa yang kita hadap di muka hadapan akhbar, individu yang telah ditahan oleh pihak Polis Diraja Malaysia atas alasan ‘caught-in-hand’ terkait dengan aktiviti melibatkan sebuah kumpulan yang diisytihar paling ganas di dunia iaitu LTTE,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara membuat keputusan menghentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, LTTE.

Tommy menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang sedang dihadapi mereka.

Bahkan katanya, keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang

Justeru, Hazwan menegaskan, sudah tiba masanya untuk rakyat bangkit dan mendesak supaya peguam negara dipecat, atas dasar integriti serta kedaulatan undang-undang yang disifatkannya jauh menyimpang.

“Peguam negara sudah hilang kredibiliti! Sebelum sistem perundangan negara mengalami defisit kepercayaan, maka amat wajar Tommy Thomas dipecat serta merta,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close