Berita UtamaUtama

Bagaimana AG yakin tak ada organisasi wujud kembali ideologi LTTE?

Tommy atasi kuasa menteri yang senarai LTTE organisasi pengganas

BANGI, 27 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – “Saya tidak bersetuju dengan kandungan kesemua 11 muka surat, 28 perenggan dalam kenyataan media berkaitan penggguguran dakwaan berkait LTTE terhadap 12 lelaki Malaysia.

“Nampaknya, Peguam Negara lebih mengkhususkan kedudukan LTTE di Sri Lanka dan Kesatuan Eropah (EU),” tegas Peguam Haniff Khatri Abdulla mengulas keputusan Tommy Thomas yang mengejutkan ramai pihak, hari ini. 

Tommy membuat kuputusan untuk menghentikan prosiding perbicaraan berkaitan LTTE berkuat kuasa serta merta.

Haniff Khatri berkata, kes membabitkan 12 individu ini termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP berlaku di Malaysia, maka sudah tentu ia tertakluk kepada undang-undang negara ini. 

“Tommy sendiri merujuk Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang menyatakan cara bagaimana sesuatu organisasi disenaraikan oleh Menteri Dalam Negeri sebagai sebuah organisasi ‘terorisme’.

“Kalau kita ikut kenyataan di situ, walaupun ada seksyen 66B(9) yang perlu dikaji semula setiap 6 bulan, tetapi kalau perkara itu tidak dibatalkan oleh jadual dan LTTE masih satu organisasi ‘terorisme’.

“Maka untuk AG menidakkan kedudukan senarai tersebut adalah seolah-olah beliau mengambil tugas Menteri Dalam Negeri. Itu adalah salah,” tegasnya dalam satu kenyataan berbentuk pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp, hari ini.

Beliau berkata, Peguam Negara sepatutnya menasihati Menteri Dalam Negeri sekiranya beliau berpendapat bahawa LTTE bukan lagi satu organisasi yang perlu dirisaukan sebagai ‘terorisme’.

“Ia untuk menteri ‘revoke’ terlebih dahulu. Tidak boleh bagi seorang Peguam Negara mengatasi kuasa menteri dan menidakkan hak menteri yang masih menyenaraikan LTTE sebagai organisasi ‘terorisme’,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Haniff berkata, apa yang disentuh Peguam Negara dalam kenyataannya adalah apa yang berlaku di Sri Lanka. 

“Tidakkah kita masih ingat selepas kematian Velupillai Prabhakaran dilantik Selvarasa Pathmanathan sebagai Ketua LTTE. Selvarasa telah ditangkap di Malaysia, secara khususnya di Kota Damansara pada Ogos 2009 iaitu selepas apa yang dinyatakan sebagai penyerahan diri LTTE.

“Macam mana kita boleh kata aktiviti LTTE itu sudah dihentikan pada Mei 2009? Fakta membuktikan bahawa Selvarasa ditangkap pihak berkuasa Malaysia dan dihantar balik ke Sri Lanka. Ini fakta penting yang menidakkan fakta yang dirujuk Peguam Negara,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun sesebuah organisasi itu mungkin telah pun berhenti berfungsi, ia tak bermakna ada pihak yang bersimpati dengan perjuangan, tidak memulakan aktiviti dan tidak mengaktifkan kembali falsafah organisasi tersebut.

“Besar kemungkinan daripada siasatan pihak ‘terorisme’ PDRM, mungkin telah mendapati keterangan dan pendapat seperti berikut. Bagaimana kita boleh nak katakan kalau LTTE telah serahkan diri di Sri Lanka, maka tidak ada kemungkinan langsung aktiviti yang mirip pada falsafah LTTE tidak dimulakan semula,” katanya.

Selain itu, memetik perenggan 13 berdasarkan kenyataan Tommy, ‘Adalah dimaklumi bahawa 6 tertuduh telah dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku di antara Mac dan Disember 2014. Walau bagaimanapun, para pendakwa tidak mendapati ianya sesuai untuk menuduh mereka segera setelah kesalahan-kesalahan yang dikatakan telah dilakukan. 

…Ia adalah bercanggah dengan kepentingan awam bagi 6 orang ini dibicarakan pada 2020 kini untuk kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan 6 tahun lepas. Peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini.’

“Saya hairan pendapat ini. Mengikut undang-undang jenayah tak ada tempoh masa. Time is of no essence. Ini adalah satu kenyataan yang sangat berbahaya. There are criminal activities. You can’t use time as a measurement to say whether it is in a public interest or not. Jenayah tetap jenayah.

“Malah Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay secara spesifik memaklumkan bahawa terdapat seorang ejen insuran merancang membuat serangan dengan penyokong LTTE lain untuk menyerang bangunan kedutaan Sri Lanka di Kuala Lumpur.

“Ini adalah fakta. Saya rasa kenyataan Peguam Negara bukan hanya mengejutkan, tetapi meletakkan contoh yang mungkin membahayakan di masa akan datang.

“Saya harap perkara ini dapat dilihat semula dan serahkan kepada budi bicara pihak pendakwa raya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close