Berita UtamaUtama

Dana al-Aqsa: Wisma Putra bertemu Duta Palestin

NGO digalak kerjasama dengan kementerian lestarikan bantuan

BANGI, 26 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Wisma Putra telah mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Palestin ke Malaysia bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu sumbangan untuk Masjid al-Aqsa dan Palestin didakwa tidak sampai kepada pihak pengurusan di negara itu.

Kementerian Luar Negeri berkata, kenyataan Duta Besar Palestin, Walid Abu Ali itu dibuat berdasarkan rekod dari pihak pengurusan Masjid al-Aqsa sejak tahun 2018.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat membuktikan sama ada kutipan derma telah dibuat khusus untuk disalurkan kepada Jabatan Wakaf Masjil al-Aqsa yang diuruskan oleh kerajaan Jordan, kata kementerian itu.

“Dalam konteks ini, kementerian ini juga mengambil maklum kenyataan gabungan badan-badan bukan kerajaan yang menyatakan antara lain, dana kutipan dari rakyat Malaysia dan bantuan kepada rakyat Palestin disalurkan terus melalui rakan-rakan badan bukan kerajaan masing-masing di Palestin.

“Sumbangan ini turut melibatkan bantuan kepada penduduk Palestin di sekitar Masjid al-Aqsa terutama pada bulan Ramadan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Walid mendedahkan dana yang disumbang rakyat Malaysia melalui badan bukan kerajaan (NGO) tempatan tidak diterima Jabatan Wakaf Baitulmaqdis sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, keadaan itu dikesan sejak dua tahun lalu selepas pihaknya menerima maklumat tidak ada penyaluran sumbangan dari rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa, meskipun banyak pihak mengutip dana.

Memandang serius isu yang dibangkitkan, Kementerian Luar Negeri berkata, pihaknya juga mengambil maklum mengenai kenyataan bersama yang dikeluarkan di bawah nama beberapa NGO, semalam.

Katanya, kementerian menyokong dan menghargai usaha murni yang telah dilaksanakan oleh NGO di Malaysia dalam menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat Palestin yang merangkumi kewangan, makanan, perubatan, pendidikan dan lain-lain.

“Sememangnya kementerian ini mempunyai hubungan baik dengan beberapa badan bukan kerajaan dan sentiasa memudah cara serta membantu usaha mereka menyalurkan bantuan kepada Palestin.

“Kementerian ini juga menggalakkan badan-badan bukan kerajaan yang lain untuk turut mendapatkan kerjasama kementerian ini bagi melestarikan bantuan dari Malaysia untuk rakyat Palestin,” katanya.

Kementerian itu berkata, kerajaan dan rakyat Malaysia menyokong kuat perjuangan Palestin untuk mendapatkan kebebasan serta mencapai kemerdekaan.

“Malaysia akan terus menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang masih dijajah dan ditindas oleh rejim Israel di wilayah-wilayah Palestin di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis, dan juga Semenanjung Gaza,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close