Berita UtamaDuniaUtama

COVID-19: Dua warga emas Iran meninggal dunia

Kematian pertama di Timur Tengah ekoran penularan wabak

TEHRAN, 26 Jamadilakhir 1441H, Khamis – Dua warga emas dilaporkan meninggal dunia di Iran selepas didapati positif COVID-19, menurut pegawai kesihatan.

Kematian itu adalah yang pertama berlaku ekoran penularan wabak berkenaan di Timur Tengah.

“Dua warga emas telah meninggal dunia akibat coronavirus di bandar Qom, selatan Teheran,” kata penasihat kepada Menteri Kesihatan Iran, Alireza Vahabzadeh kepada Al Jazeera.

“Kedua-dua mangsa mengalami jangkitan paru-paru akut kerana jangkitan coronavirus,” katanya.

Terdahulu, Jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Kianoush Jahanpour berkata, mereka dikesan positif virus itu dalam keputusan awal dan meninggal dunia akibat kekurangan imunasi dan usia tua.

Tidak ada maklumat lanjut mengenai jantina dan usia sebenar mangsa.

COVID-19, mula dikesan di pusat bandar Wuhan China pada akhir Disember lalu.

Ia telah membunuh lebih daripada 2,000 orang di tanah besar China dan menjangkiti lebih daripada 75,000 di seluruh dunia.  

Kedua-dua mangsa di Iran adalah kes pertama di negara Timur Tengah dan hanya kematian ketujuh dan kelapan yang disebabkan oleh virus di luar tanah besar China.

Bulan lepas, Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara pertama di Timur Tengah melaporkan kes COVID-19. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker