Berita UtamaDuniaUtama

Israel kurangkan makanan kepada tahanan Palestin

IPS terus beri tekanan, sengaja biarkan tahanan sengsara

TEL AVIV, 25 Jamadilakhir 1441H, Rabu – Perkhidmatan Penjara Israel (IPS) membuat keputusan untuk mengurangkan jumlah makanan dan perkhidmatan lain yang ditawarkan kepada tahanan Palestin di dalam penjara Israel.

Dalam satu kenyataan, Kelab Penjara Palestin (PPC) berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan Jawatankuasa Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan, yang pada tahun 2018 pernah memutuskan perkara itu. 

Keputusan itu termasuk membatalkan semua pencapaian yang diperoleh para banduan sepanjang ‘kesengsaraan’ mereka dengan IPS.

Kenyataan yang dihantar kepada media massa, semalam, turut memaklumkan bahawa IPS mahu mengurangkan bilangan saluran TV yang boleh ditonton tahanan, iaitu dari sepuluh kepada tujuh saluran sahaja.

Bukan itu sahaja, IPS turut menurunkan jumlah roti dari lima buku hanya kepada empat buku roti, dan mengeluarkan periuk dan 40 item dari pembelian mereka. Pada masa sama, IPS juga akan mengurangkan jumlah daging, air dan buku yang dibenarkan.

Ia juga akan menawarkan hanya telur rebus, melarang penggunaan selimut berwarna, menyekat pergerakan di kawasan penjara, mengurangkan masa rehat, meminimumkan bilangan lawatan keluarga dan menukar perwakilan faks.

Mengulas tindakan itu, tahanan menegaskan, mereka sedang membentangkan satu rencana bantahan terhadap IPS ekoran langkah-langkah ini, yang secara beransur-ansur sudah dilaksanakan.

PPC menegaskan bahawa IPS bercadang untuk mewujudkan realiti baru di dalam penjara Israel, berdasarkan perintah politik dan dasar sistematik yang bertujuan untuk memberi tekanan lebih kepada tahanan dan menjadikan kehidupan mereka sengsara. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close