Berita Utama

PRN: Majlis Syura Ulama mesyuarat minggu depan, tapis calon PAS

Pembahagian kerusi sudah selesai, tiada sebarang masalah besar

KOTA BHARU, 6 Zulhijjah 1444H, Ahad – PAS akan mengadakan mesyuarat peringkat Majlis Syura Ulama minggu depan untuk membincangkan mengenai tapisan senarai nama-nama calon yang akan bertanding di 126 Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, soal pembahagian kerusi sudah selesai dan tiada sebarang masalah besar berkenaan perkara itu, tetapi tapisan mengenai calon sedang berlangsung dan berterusan.

“Majlis Syura Ulama akan bermesyuarat pada minggu depan untuk membincangkan tentang tapisan calon. Dari segi manifesto pula, ia masih dalam perancangan,” katanya selepas Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan, di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.

Ia turut dihadiri Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan partinya akan bertanding di kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri pada PRN nanti, yang Bersatu bakal bertanding di 83 DUN, PAS di 126 DUN manakala 36 DUN lagi ditandingi Parti Gerakan (Gerakan).

PRN akan datang membabitkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45) dan Terengganu (32) yang berada di bawah pentadbiran PN, manakala Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36) iaitu negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button