Berita Utama

Sebahagian orang Melayu seolah-olah tidak minat martabat bahasa kebangsaan

‘Kita masih berbelah bahagi soal pembinaan bangsa, sedangkan negara lain semua bersatu hati’

BANGI, 9 Ramadan 1443H, Isnin – Hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa mungkin sukar dilaksanakan jika tidak mendapat sokongan padu daripada rakyat.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, hanya sebahagian yang bersama Perdana Menteri dalam usaha memperkasakan bahasa Melayu, sebaliknya bukan Melayu langsung tidak mengendahkannya.

“Dalam kata lain, kita masih berbelah bahagi dalam soal pembinaan negara bangsa. Sedangkan negara lain semua bersatu hati.

“Kita terus berpolitik. Kerana takut sokongan politik beralih, lebih-lebih menjelang pilihan raya. Agenda negara sebesar ini dibiarkan begitu saja.

“Lebih malang lagi, sebahagian orang Melayu sendiri tidak menunjukkan minat langsung,” katanya menulis di ruangan kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Berikutan itu, Prof Ridhuan Tee tertanya-tanya sama ada hasrat Perdana Menteri untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN mampu dicapai.

“Persoalannya, bolehkah tercapai hasrat PM untuk mengantarabangsakan BM, sehingga ke ASEAN (juga dunia) sedangkan dalam negara sendiri kita telah gagal?

“Adakah BM digunakan sepenuh dalam negara? Ini persoalan terlalu sukar dijawab?” soalnya.

Pada masa sama, Prof Ridhuan Tee meluahkan rasa hairan mengapa kerajaan tidak bertegas sejak dahulu dalam memartabatkan bahasa Melayu sedangkan ia bahasa negara.

Bahkan, beliau membandingkan dengan negara jiran iaitu Indonesia dan juga negara lain dalam cara mereka memperkasakan bahasa negara.

“Beza antara langit dengan bumi. Ketegasan tanpa kompromi. Lain dengan kita.

“Di Indonesia, semua rakyat, tanpa berkecuali, fasih berbahasa Indonesia. Kita pula bagaimana? Masih lagi dengan ‘lu tatak…lu tatak…bulung bulung telebang di angkase’.

“Jangan pergi jauh, tonton sahaja program realiti Indonesia, yang disertai berbilang kaum dan agama seperti X Factor. Peserta dari berbilang kaum amat fasih berbicara dan menyanyi dalam bahasa Indonesia. Tidak ada seorang pun yang pelat,” katanya.

Pautan terdahulu;

Perkasakan BM dalam negara dahulu, baru bercakap soal pengantarabangsaan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button