Berita UtamaUtama

4 pegawai, anggota polis ditahan salah guna kuasa, rasuah

Kegiatan mereka disyaki mungkin di luar pengetahuan pegawai kanan

KUALA LUMPUR, 25 Jamadilakhir 1441H, Rabu – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan empat pegawai dan anggota polis ditahan kerana disyaki terbabit rasuah dan salah guna kuasa berhubung penemuan makmal dadah di Cheras, di sini, pada 12 Februari lepas.

Beliau berkata, semua pegawai dan anggota polis itu ditahan di Selangor semalam dan kes berkenaan dikendalikan oleh Bukit Aman.

Abdul Hamid berkata, satu pasukan siasatan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan.

“Kami telah mengenal pasti siapa (empat pegawai dan anggota polis) yang terbabit dalam perbuatan tidak bertanggungjawab itu serta tiada kompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan dan perasmian projek penggantian lif di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini.

Difahamkan empat pegawai dan anggota polis yang ditahan itu bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor namun kes pembongkaran makmal memproses dadah di Cheras itu disiasat polis Kuala Lumpur.

Menurut Abdul Hamid terdapat kemungkinan kegiatan pegawai dan anggota polis yang disyaki itu di luar pengetahuan pegawai kanan mereka.

“Kami akan melakukan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua aspek dan tidak akan ada pihak yang akan terlepas dalam soal ini,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita tempatan melaporkan empat pegawai dan anggota polis ditahan kerana dipercayai terbabit salah guna kuasa dan menerima rasuah berhubung kes penemuan makmal dadah di Cheras, di sini.

Menurut laporan portal berkenaan, mereka yang ditahan itu merupakan seorang pegawai berpangkat Insp dan tiga anggota berpangkat Koperal yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker