Berita UtamaTarbiyyah

Rahsia rumah tangga bukan untuk dijaja

Kongsi aib pasangan seperti jadi fenomena 'trend masa kini'

KRISIS dalam rumah tangga adalah ujian untuk pasangan dalam menghadapinya dengan matang dan waras. Malangnya, dengan kewujudan media sosial, ia telah menjadi tempat meluahkan perasaan, berkongsi keaiban pasangan masing-masing dan menjadi fenomena “trend masa kini” dalam menyelesaikan konflik yang ada.

Gejala ini hakikatnya bukanlah perkara fitrah dalam agama, malah ia dilihat akan merosakkan lagi keadaan dan membawa kepada maksiat berterusan. Bahkan, ia akan menjerumuskan pihak yang tidak berkepentingan dan tiada autoriti kepada lembah ghibah (mengumpat), namimah (mengadu-domba) dan berleluasanya fitnah. Akhirnya ia telah menggadaikan maruah, yang mana maruah itu sepatutnya menjadi tujuan Islam dan Muslim untuk mempertahankannya.

Perkara ini boleh dilihat daripada sudut perpektif berbeza, apakah sebab atau faktor segelintir manusia yang gemar berkongsi di medan sosial. Ada yang berpandangan tindakan mereka itu adalah untuk melepaskan tekanan lalu mereka berasa puas.

Ada juga yang melihat dengan cara menceritakan apa yang berlaku tentang pasangan dan rumah tangga mereka sebagai cara menyelesaikan masalah. Bahkan ada juga yang berbangga kisah rumah tangga mereka diketahui ramai kononnya menjadi bukti mereka berada pada pihak yang benar. Tidak kurang juga untuk menimbulkan kemarahan pasangan akibat tidak dapat mengawal emosi dengan baik.

Mungkin mereka lupa mengenai kerahsiaan dalam rumah tangga yang telah disampaikan dalam pesanan-pesanan Rasulullah SAW dan boleh jadi juga kefahaman rumah tangga Islam diabaikan dan dipisahkan dalam kehidupan mereka.

Perkahwinan yang perlu kita jadikan qudwah atau contoh tauladan dalam kehidupan adalah rumah tangga Rasulullah SAW yang sarat dengan nasihat menyeluruh buat kedua-dua pasangan.

Antara adab-adab rumah tangga yang perlu dijaga oleh pasangan masing-masing demi menjaga keutuhan sebuah institusi keluarga adalah seperti berikut:

1. Mengelakkan daripada mengapi-api dan menularkan kesalahan pasangan kerana ini merupakan keaiban seorang muslim.

Daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW pernah bersabda:

يا مَعْشَرَ من قد أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ، ولم يُفْضِ الْإِيمَانُ إلى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا الْمُسْلِمِينَ، ولا تُعَيِّرُوهُمْ، ولا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فإنه من تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ الله عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ في جَوْفِ رَحْلِهِ

Maksudnya: “Wahai para pemuda yang telah Islam dengan lidahnya, tetapi iman belum lagi masuk dalam hatinya. Janganlah kalian menyakiti orang-orang Islam, mengejek dan menghina mereka, mengintip-ngintip keaiban mereka, kerana barangsiapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang muslim, nescaya Allah akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” Riwayat Muslim (2032)

2. Mengelakkan daripada berperasangka buruk kerana ia membawa kepada dosa dan perpecahan.

Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Surah al-Hujurat: 49)

3. Keretakan dalam rumah tangga adalah ujian daripada Allah dan tidak boleh dilihat dalam kerangka kebencian. Jika perasaan ini tidak diurus dengan baik, maka ia akan membawa kepada dosa dan kesan buruk yang tidak diingini dalam rumah tangga.

Ujian ini bukan hanya menimpa kepada pasangan dalam rumah tangga, bahkan buat masyarakat awam yang mengikuti isu yang ditularkan dan seterusnya menghebahkan serta mensensasikan suasana sehingga membawa dosa dan maksiat.

Daripada Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SAW:

مِنْ حُسْنِ إِسْلَامِ المَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Antara kemurniaan Islam seseorang adalah apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.” Riwayat al-Tirmidzi (2317).

Daripada Hudzaifah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَتَّاتٌ

Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu-domba.” Riwayat al-Bukhari (6056)

Daripada pesanan hadis-hadis Nabi ini, jelaslah buat kita untuk kita sentiasa peka dengan anggota tubuh badan yang telah Allah amanahkan buat kita. Tangan yang ligat menaip di atas papan kekunci, lidah yang tidak bertulang menyampaikan mesej dan kata-kata serta telinga yang menapis baik dan buruk, semuanya menjadi tanggungjawab buat kita. Semuanya ini tidak akan terlepas daripada pengawasan dan pertanyaan Allah di hari akhirat.

Justeru, ingatlah bahawa menghebahkan dan menyebarkan keaiban pasangan atau individu lain termasuk dalam perbuatan yang tidak bermanfaat dan akhirnya membawa kepada dosa. Maka, marilah kita contohi dan jadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan dalam segenap aspek kehidupan lebih-lebih lagi dalam institusi rumah tangga.

Ustazah Maryam Mohd Din
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker