Berita UtamaUtama

Pijak al-Quran: Mahkamah arah suspek ke Hospital Permai

Turut didakwa hina agama Islam, 17 Mac tarikh perbicaraan semula

JOHOR BAHRU, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, memerintahkan seorang lelaki yang videonya tular kerana dilihat memijak al-Quran baru-baru ini, supaya dihantar ke Hospital Permai, di sini, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A. Rahman selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah.

Perintah terhadap Mohd Zulkifli Ali, 33, itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Ia bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan yang dibuat hari ini, Mohd Zulkifli didakwa telah mencemarkan al-Quran dengan memijaknya dengan niat untuk menghina agama Islam.

Tertuduh juga didakwa telah mengeluarkan kata-kata penghinaan yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaannya.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel, di Jalan Abiad, Taman Tebrau Jaya, di sini pada jam 8.40 pagi, 13 Februari lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Zulkifli didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 298 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, semasa prosiding pertuduhan dibacakan terhadapnya, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan merupakan seorang penganggur, tidak membuat sebarang pengakuan serta hanya mengangguk faham.

Mahkamah menetapkan 17 Mac untuk tertuduh dipanggil semula bagi pertuduhan itu. -Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker