Berita UtamaDunia

Penumpang kapal Westerdam dilarang masuk Thailand

Tak dibenar ambil penerbangan transit sehingga tempoh inkubasi

BANGKOK, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Thailand telah melarang penumpang rakyat asing kapal persiaran MS Westerdam yang berlabuh di Kemboja minggu lalu memasuki negara itu, selepas seorang rakyat Amerika diuji positif bagi COVID-19 di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata, penumpang MS Westerdam tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke Thailand atau mengambil penerbangan transit di negara itu sehinggalah tempoh inkubasi, yang bermula pada 14 Februari, selama 14 hari bagi COVID-19 berakhir. 

“Kami tidak mahu meletakkan penumpang lain dalam keadaan berisiko dijangkiti virus itu di lapangan terbang atau semasa penerbangan. Oleh itu, semua syarikat penerbangan mesti bertanggungjawab (untuk tidak menerbangkan penumpang kapal persiaran tersebut ke Thailand),” katanya selepas mempengerusikan satu mesyuarat mengenai COVID-19, semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Sophon Iamsirithavorn berkata, sejumlah 21 rakyat Thailand, terdiri daripada 19 kru dan dua penumpang yang menaiki kapal itu, dibenarkan memasuki negara tersebut.

“Mereka akan menjalani tapisan intensif semasa memasuki Thailand dan dikuarantin selama 14 hari,” katanya.

Terdapat sejumlah 2,257 penumpang dan kru di atas MS Westerdam yang berlabuh di Sihanoukville. Setakat ini, sejumlah 747 kru dan 233 penumpang sedang menunggu untuk menguruskan perjalanan terakhir mereka.

Sementara itu, Thailand melaporkan satu kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang disahkan di negara tersebut setakat ini ialah 35.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Sukhum Kanchanapimai berkata wanita China berusia 68 tahun itu mempunyai hubungan rapat dengan pesakit yang diuji positif.

“Wanita itu telah diletakkan di bawah pengawasan selepas ahli keluarganya diuji positif bagi COVID-19.

“Dia telah menunjukkan gejala jangkitan COVID-19 dan dimasukkan ke sebuah hospital. Dia telah diuji positif bagi virus itu dan merupakan kes keempat yang disahkan dalam keluarga tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Sehingga kini, terdapat 35 kes COVID-19 yang disahkan di negara itu dan 15 daripada mereka telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala 20 lagi masih menerima rawatan. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker