Berita UtamaUtama

Isu hotel TH: Rakyat nak percaya cerita siapa?

Jika hotel tak lagi diurus dan dimiliki TH, itu tak kira hotel telah tutup?

BANGI, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – “Rakyat nak percaya cerita siapa mengenai Tabung Haji? Menteri Haji sahkan hotel TH tutup dengan berkongsi blog penulis yang tidak dinamakan.

“Tapi penasihat media kepada PM ke-7 kata hotel TH tak tutup. Cuma dijenamakan semula dari TH Hotel menjadi Hotel Raia dan dimilik dan diurus oleh pihak lain.

“Eh…jika hotel-hotel tidak lagi dimilik dan tidak lagi diurus oleh TH, itu tak kira hotel TH telah tutup ke?”.

Demikian persoalan dibangkitkan Datuk Seri Najib Razak merujuk isu penamatan operasi dan perkhidmatan hospitaliti empat rangkaian hotel Tabung Haji (TH) yang tular di media sosial, sejak semalam.

Lebih mengelirukan apabila kenyataan di pihak kerajaan PH becanggah dengan kenyataan asal
pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), Zulkefli Ahmad.

Semalam, surat ditandatangani Zulkefli menyatakan empat buah hotel THHR di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu akan ditamatkan operasi serta perkhidmatan berkuatkuasa 1 April depan.

Surat itu menyebut, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut adalah keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).

Sebaliknya, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menutup empat hotel TH, tetapi rangkaian hotel itu akan terus beroperasi di bawah pengurusan UJSB.

Beliau turut menolak dakwaan kakitangan akan diberhentikan, katanya 90 peratus akan terus bekerja dengan rangkaian hotel baharu ini manakala baki 10 peratus akan ditawarkan pekerjaan di TH Kelana Jaya.

Manakala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusoff Rawa pula mendakwa empat TH Hotel milik Tabung Haji (TH) hanya dipindah milik dan bukannya dijual.

Serentak itu, Najib mempersoalkan sebab munasabah Mujahid mengesahkan dan memberi alasan mengapa hotel-hotel berkenaan dihentikan operasinya, sebelum hantaran di Facebooknya itu dipadam pada pagi tadi.

“Setelah dikecam satu malam, tiba-tiba Tabung Haji keluarkan kenyataan media pagi untuk kata operasi hotel-hotel tidak dihentikan pula.

“Cuma hotel-hotel dipindah milik pengurusan hotel tidak lagi bawah TH dan nama TH hotel ditukar. Maksudnya sudah jual lah tu,” katanya sinis.

Bagaimanapun TH dalam satu kenyataan terkini memaklumkan, operasi empat buah hotel TH yang dipindah milik kepada syarikat tujuan khas, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ), akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan baharu dan tiada pekerja yang akan diberhentikan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, TH dan UJ berkata, segala pengurusan dan pekerja rangkaian hotel berkenaan yang sebelum ini diselia oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR) akan diambil alih oleh UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM), anak syarikat milik penuh UJ bermula 1 April ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Najib berkata, operasi dan pemilikan hotel-hotel berkenaan yang juga di bawah Syarikat Tujuan Khas (SPV) adalah milik penuh Kementerian Kewangan.

Beliau turut menyindir kenyataan TH bahawa pemilikan penuh syarikat itu di bawah Kementerian Kewangan adalah bagi mengurangkan komitmen kerajaan.

“Eh, kerajaan PH (Pakatan Harapan) bukan kata syarikat SPV itu cuma untuk penstrukturan kewangan sahaja? Sebab itu dipanggil syarikat SPV.

“Lagipun, adakah syarikat baru serta pengurusan yang baru di bawah Kementerian Kewangan lebih pandai untuk mengurus hotel berbanding TH Hotel. Kementerian kewangan lagi cekap dalam perniagaan hotel berbanding Tabung Haji?

“Mana kenyataan media Tabung Haji yang menafikan 76.2 peratus keluasan ladang milik TH Plantations sedang dijual?,” soalnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker