Berita UtamaUtama

Isu hotel TH: Kerajaan kena telus urus aset umat Islam

Buat silap boleh rugi besar, ibarat menang sorang kampung tergadai

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Lembaga Tabung Haji (TH) seharusnya mengeluarkan laporan lengkap dan membuat kenyataan rasmi berhubung penamatan operasi dan perkhidmatan empat rangkaian hotel di bawah kumpulan TH Hotel & Residence Sdn Bhd.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Omar Kassim berkata, rakyat boleh menerima sekiranya pengoperasian hotel berkenaan tidak menguntungkan dan memerlukan pelan rasionalisasi.

Bukan hanya isu terbaharu itu, beliau berkata, rakyat juga bimbang mengenai aset-aset lain milik TH bernilai RM10 bilion termasuk tanah TRX berjumlah RM400 juta serta hotel TH di seluruh negara.

“Isu penjualan tanah ladang kelapa sawit anak syarikat TH kepada Tamaco Plantation Sdn Bhd juga belum dapat ditangani dan dijelaskan dengan baik oleh TH sehingga kini. Jika aset-aset ini hendak dilupuskan, siapakah yang akan membeli aset ini.

“Kerajaan kena telus mengenai perkara ini. Jika aset-aset ini tidak strategik, sudah tentu tiada syarikat yang berminat untuk memilikinya. Yang pelik, mudahnya mencari pembeli kepada aset ini dalam kadar segera,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas surat ditandatangani pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR), Zulkefli Ahmad bertarikh 17 Februari berkaitan penutupan hotel TH.

Dalam surat itu dinyatakan empat buah hotel THHR di TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu akan ditamatkan operasi serta perkhidmatan berkuatkuasa 1 April depan.

Surat itu menyebut, penamatan operasi dan perkhidmatan tersebut merupakan keputusan tidak dapat dielakkan memandangkan operasi dan pengurusan hotel terlibat sudah atau akan diambil alih syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

Selepas surat tular itu dikritik banyak pihak, TH hari ini menjelaskan bahawa operasi empat buah hotel di bawah THHR yang dipindah milik kepada UJ, akan diteruskan seperti biasa di bawah pengurusan baharu dan tiada pekerja yang akan diberhentikan.

Mengulas lanjut, Omar Kassim berkata, kerajaan perlu bersikap terbuka kerana membabitkan aset umat Islam, selain menuntut Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa selaku menteri yang menjaga TH supaya bertanggungjawab sepenuhnya dengan isu berkenaan.

Bahkan, beliau turut meminta supaya dipertimbangkan keperluan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat semua dakwaan berkaitan aset TH.

“Silap langkah yang diambil oleh kerajaan akan mengakibatkan kerugian besar kepada umat Islam Malaysia. Kesannya kerajaan dilihat tidak kompeten menguruskan kepentingan umat Islam Malaysia. Ibarat menang sorak kampong tergadai.

“Pendeposit TH yang berjumlah 9.4 juta juga akan gusar mengenai pendekatan TH sekarang ini yang nampak seolah-olah tidak menguntungkan umat Islam. Saya percaya pendeposit TH sedang tunggu dan lihat.Tidak mustahil akan berlaku ‘bank run’,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker