Berita UtamaUtama

COVID-19: Lelaki didakwa buat kenyataan palsu

Tertuduh dibenar ikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR, 24 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan palsu berhubung penularan jangkitan COVID-19 di laman profil Facebooknya.

Shamsul Anuar Mohd Khairi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. Saravanan.

Lelaki itu didakwa telah membuat kenyataan dalam laman ‘Facebook’ mengenai jangkitan COVID-19 di dalam bas persiaran di negara ini yang digunakan oleh pelancong dari China dan jangkitan itu akan aktif apabila berlaku musim panas melampau, dengan niat hendak atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada awam supaya orang awam terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wangsa Maju di sini pada 9.53 pagi, 27 Januari lepas mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam P. Suthes yang mewakili Shamsul Anuar memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana tertuduh penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Anak guam saya mempunyai lima anak yang masih bersekolah serta seorang isteri tidak bekerja. Saya juga mohon jaminan minimum,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri seminggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker