Berita Utama

Institusi keluarga terancam jika pemerintah abaikan aspek agama, moraliti

Perkasa pencegahan dan dakwah, perketat undang-undang, tolak pihak promosi terang-terangan LGBT

BANGI, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Institusi keluarga akan terancam sekiranya pemerintah tidak menjadikan pegangan agama atau prinsip moral sebagai teras utama.

Ketika ini negara berhadapan dengan beberapa ideologi yang boleh menjejaskan nilai kekeluargaan termasuk sekularisme; liberalisme; feminisme dan pasca kebenaran.

Bagi mengelakkan permasalahan ini menjadi ‘barah’ dalam masyarakat, Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA), Profesor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menggariskan tiga aspek penting berhubung keagamaan, rehabilitasi serta undang-undang.

“Dari segi pencegahan kepada anak-anak muda kita perlu menggunakan pendekatan agama yang memberi prinsip haram, maka kita perlu tegaskan ia haram. Contohnya seperti liwat, tasyabbuh dan musahaqah.

“Kita tidak menafikan kewujudan mereka yang terlibat dalam lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Justeru, pendekatan kedua adalah rehabilitasi, membuat program bersama, memberikan perhatian khusus, tarbiyyah, mukhayyam untuk mereka. Kita bergerak bersama-sama untuk menyantuni mereka,” katanya dalam forum yang dianjurkan IKIMfm, hari ini.

Pada masa sama, Prof Rafidah tidak menafikan kewujudan pihak-pihak yang mempromosikan secara terang-terangan konsep LGBT melalui konvensyen antarabangsa dan hak asasi manusia, dengan mengetepikan sama sekali agama dan sensitiviti masyarakat.

Ketika dihubungi Ismaweb.net bagi mengulas perkara itu, beliau menggesa undang-undang negara ini diperketatkan untuk menolak gesaan-gesaan berkenaan.

“Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Joe Biden telahpun mengeluarkan ketetapan mengiktiraf dan mempromosi golongan LGBTQ di seluruh dunia. Sudah pasti kedutaan-kedutaan negara mereka, termasuk di Malaysia akan turut memperhebatkan komitmen mereka memperkasakan kumpulan pro-LGBT.

“Kita beranggapan bahawa ‘Executive Order’ Presiden Joe Biden ini satu ketetapan yang boleh mengancam nilai agama dan masyarakat kita. Oleh itu, negara kena tegas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button