Berita UtamaUtama

Tentang pelan damai Trump, Palestin tak bermakna tanpa Baitulmaqdis: Dr Akram

Pelan Presiden AS beri keuntungan kepada negara haram Israel

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 23 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Umat Islam diminta bangkit menentang dan berusaha sedaya upaya menghentikan perjanjian damai yang dicadangkan untuk negara haram Israel dan Palestin, seperti diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Setiausaha Agung The Global Coalition for Quds and Palestine (GCQP), Dr Mohammed Akram Adlouni berkata, pelan damai itu tidak boleh diterima dengan hanya janji untuk dibayar sebanyak AS$50 bilion.

“Salah satu bahaya pelan ini adalah mereka mahu mengeluarkan isu mengenai Baitulmaqdis. Baitulmaqdis bukan hanya sebuah bandar, geografi, demografik, tetapi Baitulmaqdis dianggap oleh rakyat Palestin dan semua umat Islam di dunia sebagai agama, kepercayaan dan akidah.

“Kita tidak boleh terima mana-mana tempat sebagai ibu kota Palestin kerana Palestin tidak ada makna tanpa Baitulmaqdis.

“Bahkan Al-Quds juga tidak ada makna tanpa Masjid al-Aqsa,” katanya ketika sidang media dalam pertemuan bersama Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman di sini, hari ini.

Trump Januari lalu mengumumkan pelan damai yang dianggap berat sebelah terhadap Israel dan ditolak rakyat Palestin, dengan mengklasifikasikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.

Trump sebelum ini mengumumkan pelan untuk Asia Barat yang jelas menyokong Israel tetapi turut menawarkan laluan untuk Palestin ke negara tertentu.

Antara yang terkandung dalam pelan berkenaan adalah Israel akan memegang 30 peratus ke atas aset strategik Palestin dan Lembah Jordan di Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Dr Mohammed Akram berkata, bahaya lain mengenai perjanjian damai itu termasuk mengeluarkan isu mengenai pelarian Palestin membabitkan jumlah sebanyak tujuh juta.

“Kita tidak boleh terima dan menolak sepenuhnya kerana tiada jalan penyelesaian mengenai isu Palestin tanpa mengekalkan semula semua pelarian kepada tanah, bandar, agama dan rumah mereka.

“Malangnya perjanjian damai menyebut mahu mengeluarkan isu ini yang sudah pasti untuk kepentingan rakyat Israel,” katanya.

Hujah beliau lagi, pelan itu juga menyebabkan tiada lagi tanah untuk Palestin yang mana tanah dibahagi-bahagikan antara rakyat negara itu dan Israel.

“Bahagian kecil yang tidak lebih dari 12 peratus menjadi milik rakyat Palestin manakala selebihnya menjadi hak rakyat Israel. Ini tidak boleh diterima.

“Tambahan lagi, mereka juga mahu menyertai semua penempatan haram negara Israel seperti dinyatakan dan kita tidak boleh menerima, perkara ini berbahaya kerana Palestin tiada makna tanpa tanahnya.

“…mereka mahu kita menerima perjanjian ini, negara tanpa ada sebarang makna, tiada ketenteraan, sempadan, apa-apa hak untuk membuat keputusan, hubungan formal, jadi ini juga berbahaya,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close