Berita UtamaKata PedangUtama

Sedarlah maruah, kepentingan Melayu sedang diratah

Segerakan Pakatan Nasional, martabatkan semula Islam Melayu

SEJAK kebelakangan ini desas-desus Pakatan Nasional meniti dibibir masyarakat khususnya dalam kalangan Melayu Islam yang cakna perihal situasi semasa politik negara yang semakin cacamarba.

Pakatan Nasional diuar-uarkan sebagai kerjasama politik di antara tiga parti Melayu terbesar iaitu UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menggantikan kerajaan sedia ada Pakatan Harapan (PH).

Apabila menyentuh berkenaan pakatan berkenaan, ramai mempertikaikan dengan pelbagai hujah namun tidak kurang juga yang optimis usaha itu mampu direalisasikan atas nama Melayu dan Islam.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melalui presidennya, Haji Aminuddin Yahya sudah beberapa kali menggesa supaya usaha mewujudkan kerajaan Melayu Islam disegerakan.

Selain itu, matlamat berkenaan juga menjadi intipati dalam Mesyuarat Meja Bulat Kerajaan Penyatuan Melayu Islam yang dihadiri oleh Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), UMNO, PAS, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) serta tokoh-tokoh NGO Melayu, semalam.

Sebelum kita pergi secara terperinci, terlebih dahulu biarlah Pedang terangkan bagaimana usaha mewujudkan Pakatan Nasional ini timbul?

Inisiatif berkenaan wujud susulan daripada rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap kepentingan mereka termasuk agama Islam yang semakin terhakis sejak tampuk pentadbiran negara berubah tangan.

Pedang rasa ramai tahu, walaupun negara ini dipimpin oleh seorang perdana menteri Melayu, namun hakikatnya kerajaannya didominasi oleh parti tamak haloba yang kini sedang asyik meratah nikmat untuk diagih-agihkan kepada pihak yang mampu memberi manfaat kepada mereka.

Seorang penganalisis politik pernah berkata, apabila orang Melayu melihat politik sebagai satu jalan yang mampu menyelesaikan permasalahan dialami, ini bermakna mereka berada dalam keadaan tertekan atau cemas.

Perkara tersebut bukan benda baru kerana contohnya sudah ada, lihat sahaja Kongres Melayu Se-Malaya 1946 yang dianjurkan bagi menentang perancangan British mewujudkan
Malayan Union.

Berang dengan tindakan itu, orang Melayu sanggup melupakan perbezaan fahaman dan pegangan politik lalu bergabung menentang kerakusan penjajah sehingga British tunduk dan melupakan hasrat melaksanakan Malayan Union.

Kini situasi sama berulang dan orang Melayu semakin bimbang apabila dikhabarkan lebih 100 undang-undang bakal dipinda yang pasti akan menghakis kepentingan mereka di tanah air sendiri.

Itu belum lagi perihal gerakan subversif seperti komunis serta Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang semakin berani dan subur di negara ini, selain kedudukan raja-raja Melayu mula dipertikai melalui pelbagai peristiwa.

Persoalan besar di sini apa pilihan yang ada untuk orang Melayu, mahu diadakan pilihan raya umum, tidak mungkin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Justeru, Pakatan Nasional adalah pilihan yang paling ideal untuk orang Melayu, lupakan sahaja perkataan `kerajaan pintu belakang’ kerana pada padangan Pedang ia diwujudkan sekadar untuk memburuk-burukkan pakatan berkenaan.

Kata Pedang: Rakyat sudah sedar mereka silap pilih PH, tak berguna untuk martabatkan Islam, Melayu.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net, tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker