Berita UtamaUtama

Pelan damai Trump cuba beli perjuangan rakyat Palestin

Sedih apabila ada negara Arab sokong rancangan berat sebelah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Pelan damai berat sebelah tajaan Amerika Syarikat (AS) – kononnya bagi menyelesaikan konflik Palestin dan Israel – adalah cubaan untuk membeli perjuangan rakyat Palestin.

Menyifatkan rancangan negara pembuli itu tidak munasabah, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Washington cuba menawarkan AS$50 bilion (RM207 bilion) kepada Palestin, bagi membina penempatan baharu sebagai balasan supaya mereka tinggalkan tanah air, sekali gus menafikan hak mendirikan sebuah negara berdaulat.

Menolak keras pelan berkenaan, beliau menegaskan, rancangan Trump bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin di tanah air mereka, bahkan bertentangan dengan undang-undang yang termaktub di dalam piagam antarabangsa.

“Lebih menyedihkan apabila sesetengah negara Arab juga menyokong pelan tersebut. Kita menganggap bahawa pelan damai abad ini sebagai satu perkembangan baharu yang sangat berbahaya.

“Jika tidak ditangani atau ditentang, ia akan membawa perubahan besar bukan hanya di Timur Tengah, bahkan kepada geopolitik antarabangsa, di mana keadaan seluruh dunia tunduk pada kekuasaan Yahudi, Zionis serta Israel,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan dengan wakil pertubuhan antarabangsa, The Global Coalition For Quds di sini, hari ini.

Pelan AS yang diumumkan Trump pada Januari lalu, dilihat sebagai berat sebelah terhadap Israel dan ditolak rakyat Palestin, dengan mengklasifikasikan Baitulmaqdis ibu negara Israel.

Trump sebelum ini mengumumkan pelan untuk Asia Barat yang jelas menyokong Israel tetapi turut menawarkan laluan untuk Palestin ke negara tertentu.

Antara yang terkandung dalam pelan berkenaan adalah Israel akan memegang 30 peratus ke atas aset strategik Palestin dan Lembah Jordan di Tebing Barat.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik menggesa, seluruh umat Islam dan masyarakat dunia supaya terus berdiri teguh di belakang isu Palestin serta menyokong keadilan rakyat dan hak umat Islam di negara berkenaan.

“Kita menolak tegas dan mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab Trump dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada keputusan satu pihak yang memaksa tanpa perundingan dan persetujuan daripada pihak lain yang terbabit.

“Kita berharap supaya pelan ini tidak akan berjaya kerana ia tidak selari dengan undang-undang antarabangsa dan apa yang berlaku dalam situasi hari ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close