Berita Utama

PH boleh ‘tutup buku’ di Melaka jika UMNO-PAS-Bersatu bersama

PN, MN mampu menang dengan selesa 21 kerusi DUN

BANGI, 17 Rabiulawal 1443H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) diyakini akan ‘tutup buku’ di Melaka sekiranya UMNO mahu bersama PAS dan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, kata Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah pun menyebutkan formula perundingan di PRN Melaka iaitu kerusi penyandang kekal pada penyandang. 

Ini bermakna UMNO-BN kekal bertanding 14 kerusi, dan dengan dukungan undi PAS dan Bersatu, 14 kerusi ini sangat selamat untuk dimenangi oleh UMNO. 

“Bersatu kekal bertanding 2 kerusi yang disandang. Pun sama, kemenangan adalah sangat dijangka dengan dukungan undi UMNO-BN dan PAS. 

“Baki lagi 12 kerusi perlu diagihkan antara 3 parti. Dengan dukungan tiga parti utama, 5 kerusi sangat selamat untuk dimenangi bersama atas nama muafakat,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Dengan percaturan itu, Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, Perikatan Nasional serta Muafakat Nasional mampu dengan selesa memenangi 21 kerusi DUN Melaka.

“PN dan MN gagah untuk memenangi PRN Melaka dengan 21 kerusi daripada 28 kerusi DUN Melaka. PH boleh tutup buku. 

“Rasanya tidak sukar untuk berunding jika diletakkan atas satu matlamat iaitu kemenangan bagi umat Islam dan bagi menghalang kemenangan PH,” katanya.

Untuk tercapainya hasrat itu, beliau berkata, semua pihak di bawah PN dan MN digesa untuk mengadakan rundingan. 

“Saya menyeru semua pihak berunding. Jangan pertaruhkan kemenangan PRN Melaka kepada PH disebabkan perpecahan setelah mana kita menjadi kerajaan hari ini disebabkan oleh perpaduan antara kita. 

“Perpaduan adalah penyelamat, perpecahan adalah azab dan sengsara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button