Berita Utama

Kerajaan, SPR bincang SOP ketat PRK Batu Sapi

SOP perlu dibentangkan bagi menjamin kesihatan pengundi

KUALA LUMPUR, 10 Rabiulawal 1442H, Selasa – Kerajaan akan berbincang bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang bakal diadakan 5 Disember ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, SOP itu perlu dibentangkan bagi menjamin kesihatan penduduk Batu Sapi yang akan keluar mengundi.

“Kami akan memanggil SPR hari esok atau lusa dan akan membentangkan SOP yang lebih ketat bagi menjamin kesihatan penduduk Batu Sapi untuk keluar mengundi.

“Kami tak boleh menahan sesiapa daripada keluar mengundi kerana Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada setiap rakyat untuk mengundi.

“Jadi SPR akan keluarkan SOP supaya boleh mengurangkan pergerakan dan kontak antara individu sepanjang tempoh PRK,” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang sebarang pilihan raya diadakan, termasuk PRK Batu Sapi memandangkan ia di bawah kuasa SPR.

“Sekali lagi ingin saya jelaskan, ia (pilihan raya) bukan di bawah kuasa kerajaan untuk menentukan (kerana ia) di bawah Perlembagaan (Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan) dan kuasa SPR,” kata Ismail Sabri.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah pada 2 Oktober lepas.

SPR menetapkan pada 23 November sebagai hari penamaan calon bagi PRK itu dan pengundian awal pada 1 Disember.

Batu Sapi mempunyai seramai 32,962 pengundi termasuk 672 anggota tentera dan 1,138 anggota polis.

Berkenaan ‘weekend husband’ atau ‘weekend wife’ yang bertemu seminggu sekali membabitkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Ismail Sabri berkata, mereka boleh merentas negeri tetapi perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Orang ramai boleh rujuk laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (www.mkn.gov.my) yang mempunyai butiran mengenai SOP, peraturan serta cara-cara memohon kebenaran daripada pihak polis dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, berkaitan SOP perayaan Deepavali yang bakal disambut 14 November ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenainya minggu ini sebelum diumumkan.

Berhubung pengecualian caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) bagi pengeluaran wang mesin MEPS, Ismail berkata, setakat ini ia masih diteruskan dan hanya Kementerian Kewangan yang akan memutuskan tarikh pengecualian itu ditamatkan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button