Berita UtamaUtama

NGO serah memorandum ‘lucut kerakyatan ultra kiasu’ kepada Agong

Ada pihak pertikai kedudukan Islam, Melayu serta Raja-Raja Melayu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) bersama Sekretariat Gabungan Persatuan-Persatuan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN) hari ini menyerahkan memorandum ‘lucut kewarganegaraan ultra kiasu’ kepada Yang Di-Pertuan Agong. 

Memorandum itu diserahkan wakil NGO terbabit kepada Setiausaha Sulit Kanan Kepada Tuanku, Kolonel Datuk Nazim Mohd Alim, di Istana Negara, di sini. 

Penyerahan memorandum adalah bagi mendesak perlucutan kerakyatan individu dan pertubuhan pelampau kerana mengkhianati dan menderhaka kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden PEMBELA, Ustaz Masrizi Mat Sat berkata, pihaknya bersyukur kerana selesai menyerahkan memorandum kepada Agong, susulan beberapa peristiwa apabila ada pihak semakin melampau mempersoal berkaitan keselamatan negara serta hak-hak orang Melayu.

Keadaan itu, kata Ustaz Masrizi, telah menimbulkan kegusaran serta keresahan di kalangan umat Islam khususnya serta rakyat Malaysia amnya.

“Justeru, kami PEMBELA dan PERTAHAN ingin memohon dengan penuh takzim ke bawah DYMM Yang Di-Pertuan Agong agar dapat bertitah kepada pihak berwajib supaya mengambil tindakan lebih tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam aktiviti subversif yang mengancam keselamatan negara.

“Ini termasuk mereka yang mengeluarkan kenyataan provokatif yang menghina dan mempertikaikan kedudukan Islam, hak orang Melayu serta Raja-raja Melayu yang seolah-olah mahu menghasut rakyat menentang perkara-perkara berkenaan. 

“Langkah untuk melucutkan kerakyatan kepada pelampau tersebut harus juga dipertimbangkan,” katanya kepada media selepas sesi penyerahan memorandum, di sini.

Mengulas lanjut, Ustaz Masrizi berkata, percubaan oleh pihak tertentu menghidupkan kembali ideologi komunis yang jelas menolak kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu dan agama Islam juga harus ditangani dengan lebih agresif.

Pada masa sama, kedudukan Islam, hak orang Melayu serta Raja-Raja Melayu tidak boleh sama sekali dihina, diganggu-gugat apatah lagi dirampas oleh pihak lain yang tiada hak untuk mempertikai, kerana ini sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan di dalam wasiat Raja-raja Melayu.

“Termasuk dalam perkara ini juga adalah pelaksanaan budaya orang Melayu seperti tulisan jawi yang kini mendapat bantahan bidab daripada beberapa kumpulan ekstremis pelampau cauvinis. 

“Padahal tulisan jawi adalah warisan orang Melayu yang telah diamal ratusan tahun tanpa menimbulkan apa-apa masalah dari segi hubungan pelbagai kaum,” tegasnya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close