Berita UtamaUtama

Memorandum tentang ideologi komunis akan diserah kepada Sultan Selangor

Wajib tentang habis-habisan cubaan hidup ideologi pengganas komunis

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1441H, Sabtu – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan meneruskan usaha mengekang anasir perkembangan ideologi komunis di negara ini dengan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam masa terdekat.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (PERTAHAN), Sahruddin Esa menegaskan, pihaknya bersama ratusan NGO Islam dan silat yang lain serius mahu menangani isu keselamatan negara dan mahu mengambil satu inisiatif bagi mengekang ideologi pengganas berkenaan.

Ini kerana, katanya, pada akhir tahun lalu media melaporkan bahawa hampir 400 orang termasuk bekas ahli kumpulan pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) mengadakan perjumpaan di Kajang. 

“Justeru, kami akan berusaha menghantar memorandum ke Istana Selangor pula. Ini kerana pergerakan komunis tersebut berlaku di negeri Selangor.

“Bila himpunan komunis berlaku di Kajang bermakna mereka cuba hidupkan balik ideologi pengganas di kawasan itu.  Ini bukan perkara main-main. Mereka wajib ditentang habis-habisan,” katanya kepada media selepas sesi penyerahan memorandum di Istana Negara, di sini, hari ini.

Tahun lalu, pada Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraannya yang ke-74 di Istana Alam Shah, Sultan Selangor mengingatkan rakyat supaya tidak terkeliru dengan fakta sejarah perjuangan PKM sehingga mengagung-agungkan pemimpin mereka.

Baginda bertitah, perjuangan PKM tidak berlandaskan kepada konsep pembentukan sebuah negara Malaysia merdeka berteraskan demokrasi Raja Berperlembagaan, walaupun dikatakan turut menentang penjajahan.

Baginda turut bertitah bahawa detik hitam kekejaman komunis perlu dijadikan sebagai panduan agar tidak mengulangi kesilapan dahulu.

Sementara itu, selain Selangor, Sahruddin turut sama mengajak NGO di negeri Perak untuk menghantar memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ekoran tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membuang abu mayat pengganas nombor satu negara, Chin Peng di negeri itu.  

“Saya menyeru agar kita dapat menghantar memorandum kepada Sultan Perak. Supaya dapat dimasukkan dalam perbincangan Majlis Raja-raja yang tidak salah saya akan bermula pada minggu hadapan atau pun akhir bulan ini,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close