Berita UtamaUtama

Pemandu mabuk: Pandangan Islam wajar diperhalusi

Aspek penguatkuasaan dititik berat elak banyak nyawa terkorban

BANGI, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Pandangan yang lebih holistik termasuk daripada perspektif Islam perlu diperhalusi dalam usaha kerajaan mengemuka pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengatasi gejala pemandu mabuk sehingga menyebabkan banyak kematian orang awam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia adalah sebuah negara Islam, justeru amat wajar cadangan itu dipertimbangkan.

“…iaitu adakah pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam dianggap membunuh dengan niat atau tanpa niat dalam konteks perundangan Islam serta adakah wajar pesalah yang menyebabkan kematian orang awam dikenakan hukuman bunuh juga.

“Sedangkan negara-negara bukan Islam di Benua Asia seperti Taiwan dan China pun telah mengetatkan undang-undang jalan raya mereka, termasuk bagi menghukum mati pemandu mabuk yang melanggar mati orang awam.

“…begitu juga negara bukan Islam di Benua Eropah seperti Sweden dan di Benua Amerika seperti sesetengah negeri di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, perkara paling asas adalah menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol yang pernah dicadangkan oleh bekas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Othman Talib.

Ataupun kata beliau, menarik selama-lamanya lesen memandu mereka yang mengakibatkan kemalangan maut.

“Saya juga menyokong saranan Datuk Tuan Ibrahim supaya pindaan akta ini mesti dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat bulan Mac ini dan tidak ditangguhkan ke bulan Jun atau Julai kerana usaha mengkajinya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sejak 2018 dan 2019 lagi.

“Selain itu ia juga bagi mengelakkan lebih banyak nyawa manusia hilang. Perlu dititikberatkan aspek penguatkuasaan bersepadu daripada semua agensi kerajaan, termasuk Kementerian Kesihatan.

“Jika penguatkuasa boleh dihantar ke restoran bagi menahan rakyat yang merokok, mengapa penguatkuasa tidak dihantar ke pusat hiburan yang menghidangkan alkohol bagi menahan rakyat yang memandu dalam keadaan mabuk?” soal beliau.

Isu pemandu mabuk masih belum mendapat perhatian Kabinet, dan telah mengakibatkan banyak kematian, termasuk kes dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita disyaki dalam keadaan mabuk di Km13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, Butterworth.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close